Tuesday 25 February 2014

Hospital di Syria dibom, 15 maut


Penduduk Syria membawa kanak-kanak yang cedera selepas satu serangan udara tentera kerajaan di utara bandar Aleppo pada 22 Februari lalu. - AGENSI
ISTANBUL 24 Feb. - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, manakala 65 yang lain cedera dalam satu letupan bom kereta yang menjadikan sebuah hospital medan di bandar Atma, Syria yang bersempadan dengan Turki sebagai sasaran.
Letupan itu hampir memusnahkan hospital kebajikan itu yang diwujudkan oleh seorang ahli perniagaan yang juga penentang kerajaan Syria di bandar yang kini dikuasai kumpulan penentang.
"Mereka yang terbunuh dan cedera merupakan pesakit dan kakitangan perubatan di Hospital Orient,’’ kata seorang aktivis di kawasan itu yang enggan dikenali.
Bagaimanapun, masih tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.
Pihak yang menguruskan hospital itu, Orient Corporation menuduh kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad merupakan dalang di sebalik serangan berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, penentang kerajaan terkemuka yang dikaitkan dengan pemimpin al-Qaeda, Abu Khaled al-Suri dilaporkan terbunuh dalam satu serangan oleh satu lagi kumpulan penentang kerajaan di utara bandar Aleppo, semalam.
Serangan itu dilakukan oleh pengebom berani mati yang menentang kumpulan al-Qaeda, kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).
Sementara itu, tentera udara Syria semalam menggugurkan tong minyak yang sarat dengan bahan letupan di kawasan perumahan penduduk yang dikuasai kumpulan penentang berhampiran Damsyik mengakibatkan penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Tentera kerajaan turut mengebom kawasan perumahan di Homs mengakibatkan seorang kanak-kanak maut dan ramai lagi cedera.
Keganasan itu menyusul selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara sebulat suara meluluskan resolusi yang menuntut bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki Syria dan menamatkan keganasan di negara tersebut. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140225/lu_06/Hospital-di-Syria-dibom-15-maut#ixzz2uHbVi3Fs
© Utusan Melayu (M) Bhd