Sunday 11 September 2016

Lebih 80 Maut Di Syria Menjelang Aidiladha


Diterbitkan: Ahad, 11 September 2016 2:04 PM

DAMSYIK: Kurang 48 jam sebelum seluruh umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha, penduduk di wilayah Idlib dan Aleppo di Syria, dibedil dalam serangan udara yang menyaksikan sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh.
Menurut laporan Al Jazeera, serangan itu dipercayai dilakukan oleh jet tempur milik Rusia hanya beberapa jam selepas Moscow dan Washington mengumumkan usaha untuk menghentikan peperangan di Syria yang berlanjutan sejak lebih lima tahun lalu.
Serangan berdarah itu juga berlaku ketika kerajaan Syria dan kumpulan penentang bersetuju untuk menghentikan pertempuran bagi menghormati ketibaan Aidiladha.
Laporan Al Jazeera menjelaskan, sebuah jet Rusia mengebom sebuah kawasan penempatan dan sebuah pasar di Idlib pada Sabtu.

"Kawasan pasar itu sesak dengan ramai penduduk awam yang membeli-belah sebagai persiapan menyambut Aidiladha.
"Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dalam serangan tersebut," tambah laporan itu.
Serangan berasingan berlaku di bandar Aleppo apabila kira-kira 46 orang terkorban susulan serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Rusia.
Seramai 10 lagi mangsa terbunuh apabila kumpulan penentang melancarkan serangan meriam ke atah kawasan penempatan di Salahuddin yang dikuasai tentera kerajaan.
"Lima lagi kematian dicatatkan di Douma yang dikuasai kumpulan penentang susulan serangan udara oleh tentera kerajaan," lapor Al Jazeera.

Syria lulus gencatan senjata

AHAD, 11 SEPTEMBER 2016 @ 12:47 AM

 Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry (kiri) dan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berbincang mengenai gencatan senjata di Syria yang akan mula berkuatkuasa 12 September. - Foto AFP

DAMSYIK: Kerajaan Syria meluluskan gencatan senjata yang diusahakan Russia dan Amerika Syarikat (AS), kata agensi berita SANA, semalam. Agensi itu melaporkan, kerajaan Syria sudah meluluskan perjanjian dan permusuhan itu akan mula dihentikan dari Aleppo atas alasan kemanusiaan. SANA yang memetik sumber sebagai berkata, antara matlamat perjanjian itu adalah untuk mencapai penyelesaian politik, yang perlu untuk Syria. Perjanjian yang dipersetujui Moscow dan Washington itu adalah saranan untuk menghentikan peperangan di seluruh negara dan meningkatkan bantuan kemanusiaan terutamanya di bandar Aleppo. "Keseluruhan perjanjian dicapai dengan pengetahuan kerajaan Syria," lapor SANA. Pada masa sama, Jawatankuasa Rundingan Tertinggi Pembangkang (HNC) berkata, mereka masih belum menerima 'teks rasmi' perjanjian. "Sebaik saja kami menerimanya, HNC akan mengkaji butiran dan kaedah untuk melaksanakannya," kata HNC dalam laman web. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/191717

Idlib diserang, 25 terkorban


REUTERS  |  10 September 2016 11:39 PM



AMMAN 10 Sept. - Seramai 25 orang terbunuh termasuk kanak-kanak dan wanita dalam satu serangan oleh beberapa buah jet pejuang di sebuah pasar di Idlib hari ini.
Menurut sumber pasukan penyelamat dan penduduk awam, serangan itu juga mencederakan berpuluh-puluh yang lain.
Dua pekerja pertahanan awam memberitahu Reuters melalui Internet berkata, mayat mangsa masih lagi sedang dialihkan di bawah runtuhan bangunan yang musnah.
Penduduk awam dan pasukan penyelamat berkata, mereka mendakwa kesemua jet tersebut adalah kepunyaan Rusia walaupun jet tersebut terbang pada altitud tinggi namun masih boleh dikenalpasti lagi. - REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/idlib-diserang-25-terkorban-1.381211#sthash.6X5gXgYD.dpuf

19 penduduk awam Syria 
maut dibedil tentera kerajaan


11 September 2016 12:17 AM

pasukan Pertahanan Awam Syria dibantu penduduk awam menyelamatkan


PASUKAN Pertahanan Awam Syria dibantu penduduk awam menyelamatkan orang ramai susulan serangan udara di sebuah pasar di wilayah Idlib semalam. AFP
DAMSYIK 10 Sept. - Kurang 24 jam selepas Amerika Syarikat (AS) dan Rusia mengumumkan gencatan senjata di Syria yang akan berkuat kuasa pada Hari Raya Aidiladha Isnin ini, tentera yang setia kepada Presiden, Bashar al-Assad terus melancarkan sera­ngan udara, mengorbankan 19 orang awam di wilayah Idlib hari ini.
Sumber perubatan tempatan memberitahu portal Zaman al-Wasl, jet tempur tentera Syria membedil sebuah pasar menggunakan peluru berpandu.
Angka korban dijangka me­ningkat ketika Pasukan Pertahanan Awam Syria bergegas ke lokasi kejadian.
Media antarabangsa turut me­maparkan gambar-gambar lo­­kasi serangan antaranya menunjukkan kepulan asap dan api masih menyala ketika beberapa lelaki mendukung wanita tua, kanak-kanak serta mengalihkan mayat.
Sekeping gambar memaparkan tubuh dan wajah seorang lelaki diselaputi debu selepas diselamatkan daripada runtuhan bangunan.
Terdahulu, AS dan Rusia hari ini mencapai persetujuan gencatan senjata baharu Syria yang jika dilaksanakan bakal menyaksikan kerjasama dua negara ber­kenaan memerangi kumpulan mi­litan.
Setiausaha Negara AS, John Kerry dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, keputusan tersebut dicapai malam semalam dan akan berkuat kuasa pada hari pertama Hari Raya Aidiladha, Isnin ini.
Moscow menyokong pimpinan Bashar manakala AS bersama kumpulan-kumpulan pemberontak.
Namun, jika Rusia boleh menggesa Bashar mempersetujui gencatan senjata itu, Moscow dan Washington akan mewujudkan satu unit penyelaras bersama untuk melancarkan serangan terhadap sasaran pengganas.
“Kami setuju menjalin kerjasama tentera udara dua negara untuk melancarkan serangan terhadap pengganas.
“Kami juga telah menetapkan dari mana serangan akan dilancarkan,” kata Lavrov.
Kerry pula berkata, gencatan senjata bertujuan mengurangkan keganasan, meredakan penderitaan dan langkah ke arah run­dingan damai serta perubahan politik di Syria. – DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/19-penduduk-awam-syria-8232-maut-dibedil-tentera-kerajaan-1.381300#sthash.iQXGHHPI.dpuf