Monday 28 November 2016

Tentera Syria tawan semula 6 kawasan di Aleppo

DUNIA ISNIN, 28 NOVEMBER 2016 @ 12:50 PM

ALEPPO: Tentera kerajaan menawan semula daerah di timur Aleppo yang dikuasai pemberontak hujung minggu lalu, memaksa hampir 10,000 penduduk awam melarikan diri ketika pihak tentera meningkatkan serangan untuk mengambil alih semula bandar raya kedua Syria itu. Dalam kejayaan besar dalam usaha menawan semula keseluruhan bandar raya itu, tentera rejim kelmarin menawan semula Masaken Hanano yang menjadi daerah terbesar dikuasai pembangkang di timur Aleppo.

 Semalam, pada Ahad, hari ke-13 operasi, tentera kerajaan turut berjaya menawan semula kawasan kejiranan Jabal Badra dan Baadeen serta tiga lagi kawasan. Wilayah Inzarat, Al-Sakan al-Shaabi dan Ain al-Tall, semuanya berjaya dirampas semula tentera rejim selepas melancarkan serangan besar-besaran terhadap Sakhur dan Haidariya.

Menurut pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), tentera kerajaan menguasai hampir keseluruhan timur Aleppo. "Pembangkang kehilangan sekurang-kurangnya 30 peratus wilayah yang dikuasai mereka di Aleppo," kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman. Kejayaan dicapai rejim ketika pesawatnya membedil kedudukan pembangkang dan di tengah pertempuran hebat antara pembangkang dan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad di daerah Sakhur.

Masaken Hanano adalah daerah pertama ditawan pembangkang pada musim panas 2012 dalam tindakan yang memecahkan bandar raya itu kepada timur yang dikuasai pemisah dan rejim menguasai barat. Kira-kira 250,000 penduduk awam yang terkepung beberapa bulan di timur berhadapan kekurangan makanan dan bahan bakar serius.

 SOHR berkata, hampir 10,000 penduduk melarikan diri dari timur Aleppo pada malam Sabtu, sekurang-kurangnya 6,000 menuju daerah Sheikh Maksoud yang dikuasai penduduk Kurdis, dengan yang lain bergerak ke kawasan dikuasai kerajaan. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/217662

Doktor tentukan hidup, mati



KANAK-KANAK Syria memungut kayu api di tengah runtuhan bangunan yang musnah dalam serangan udara kerajaan Syria di timur Aleppo, baru-baru ini. - Reuters


Agensi
Aleppo (Syria): Doktor di timur Aleppo terpaksa membuat keputusan sukar, memilih pesakit kanak-kanak yang perlu dibiarkan mati atau yang hendak dibantu supaya terus hidup selepas bekalan ubat di wilayah itu semakin berkurangan.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) dan pertubuhan lain bersedia menghantar bantuan yang amat diperlukan itu, namun konvoi mereka tidak dapat memasuki bandar berkenaan kecuali pihak bertelagah membuka laluan.

Penolong Pengarah UNICEF, Justin Forsyth berkata: “Keadaan kami amat terdesak. Kanak-kanak bukan saja kekurangan makanan, malah turut dibom. Doktor semakin kehabisan bekalan ubat.

“Satu pasukan doktor dan jururawat memberitahu kami, mereka terpaksa memilih kanak-kanak yang perlu dibiarkan mati.

“Mereka yang cedera paling teruk terpaksa dibiarkan mati disebabkan bekalan ubat begitu meruncing.”

Katanya, pihaknya menunggu peluang memasuki Aleppo untuk membawa barangan keperluan asas seperti ubat-ubatan dan makanan.

“Malangnya kami tidak dapat membawa masuk semua bantuan itu kerana pihak bertelagah enggan memberi kebenaran walaupun bekalan air, makanan dan ubat-ubatan semakin berkurangan.

“Ratusan kanak-kanak terbunuh di Aleppo sejak beberapa bulan lalu dan mereka semakin putus harapan,” katanya.

PBB minggu lalu menganggarkan hampir sejuta penduduk Syria kini hidup di kawasan yang terkepung, berbanding 393,700 pada tempoh sama tahun lalu.

UNICEF percaya seorang dalam setiap tiga kanak-kanak Syria tidak pernah merasai hidup dalam keadaan aman selepas perang saudara di Syria meletus pada 2011. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 10:53 AM