Tuesday 21 April 2015

PBB sahkan 800 maut tragedi bot bawa pendatang


MANGSA yang terselamat dibawa turun dari kapal pengawal pantai Itali Bruno Gregoretti, di Catania Harbor, Itali - Foto AP
CATANIA (Itali): Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan 800 pelarian maut dalam satu kemalangan kapal di luar pantai Libya, Ahad lalu selepas mendapat pengesahan daripada mangsa yang terselamat.
"Kita boleh mengatakan bahawa 800 telah maut," kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian di Itali, Sami Carlotta hari ini.
Wakil daripada agensi PBB dan pertubuhan antarabangsa bagi Migrasi berkata mereka sudah menemubual majoriti 27 mangsa yang terselamat.
Mangsa terselamat menyifatkan insiden berlaku selepas pukat tunda dinaiki terbalik disebabkan sebuah kapal dagang Portugis yang mendekati kapal mereka, sehingga mengakibatkan rempuhan.
Seorang daripada mangsa yang terselamat juga telah dibawa ke hospital di Catania, di pantai timur Sicily.
"Terdapat lebih kurang 800 orang di atas kapal, termasuk kanak-kanak berusia antara 10 dan 12 tahun. Terdapat warga Syria, kira-kira 150 dari Eritrea, Somalia ... Mereka telah keluar dari Tripoli kira-kira jam 8 pagi Sabtu lalu," kata Sami.
Mereka yang terselamat berasal dari Mali, Gambia, Senegal, Somalia, Eritrea serta Bangladesh dan semuanya telah dibawa ke pusat perlindungan berdekatan.
Pengawal pantai Itali pula berkata mereka sudah menemui sekurang-kurangnya 24 jasad mangsa dan tidak mengesahkan jumlah kematian.
Sementara itu polis Itali berkata, seorang rakyat Tunisia dan seorang lelaki Syria yang terselamat telah ditahan selepas disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan termasuk mengatur pelayaran yang menyebabkan kematian ramai mangsa ini. -AFP