Ahmad Salman Abdul Rahim, 40, yang berasal dari Parit Buntar, Perak dilaporkan terbunuh dalam satu serangan terhadap Lapa­ngan Tentera Udara Kuwayris di wilayah Allepo, semalam.
Difahamkan, serangan terhadap pangkalan tentera itu dilakukan oleh satu skuad khas yang dinamakan skuad Inghimas yang dipercayai satu kumpulan yang ditubuhkan untuk melakukan serangan nekad terhadap pasukan tentera di sana.
Ketika serangan nekad itu, Ahmad Salman telah terbunuh akibat kecederaan parah di serata badan.
Pengesahan tentang kematian lelaki yang dikenali sebagai ‘Abu Suleiman’ itu dibuat oleh seorang lagi rakyat Malaysia yang turut berjuang di Syria.
Ahmad Salman yang merupakan bekas pelajar sebuah universiti di London sebelum ini berada di dalam senarai 45 rakyat Malaysia yang menganggotai pasukan keganasan di negara itu.
Satu sumber keselamatan mendedahkan, Ahmad Salman ialah salah seorang daripada individu yang bertanggungjawab merekrut rakyat Malaysia untuk berjuang di Syria.
Malah, bekas pegawai sebuah syarikat pembinaan itu juga dilaporkan sebagai antara individu terapat dengan seorang ustaz dari Baling, Kedah, Allahyarham Mohd. Lofti Ariffin dan bekas pemuzik kumpulan popular 80-an, Akel Zainal.
Dia turut dipercayai bertanggungjawab menjadi dalang mempengaruhi rakyat Malaysia terhadap aktiviti keganasan melalui laman-laman sosial.
Ahmad Salman adalah antara rakyat Malaysia yang terkenal dalam kalangan rakyat negara ini ekoran pendedahan tentang perjuangannya di Syria di dalam Facebook.
Malah, menerusi laman Twitternya, Ahmad Salman dikesan begitu aktif memperjuangkan peperangan di negara-negara Islam, malah laman sosialnya juga dikesan menjadi antara tarikan rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan gerakan militan di negara berkenaan.
Bagaimanapun, sejak 31 Disember lalu, beliau berhenti memuat naik sebarang status di laman Twitternya.
Menerusi laporan media terdahulu, Ahmad Salman pernah memberitahu, perjuangannya di Syria bermula setelah berkenalan dengan seorang rakyat Malaysia di India, yang bertanggungjawab memperkenalkannya dengan seorang ustaz yang juga berasal dari negara ini, beberapa tahun lalu.
Dia kemudiannya diarahkan untuk terbang ke Istanbul, Turki memasuki negara itu melalui Hatay sebelum menyertai serpihan kumpulan militan Al-Qaeda.
Ahmad Salman sebelum ini pernah mendedahkan kesukaran hidup di negara bergolak itu selepas ramai rakyat Malaysia dan rakan seperjuangannya meninggal dunia.