Tuesday 15 January 2013

Peristiwa pahit wanita Syria


15 JANUARI 2013
Peristiwa pahit wanita Syria


   Bandar Syria kini bagaikan kawasan larangan yang mengundang ketakutan kepada wanita serta kanak-kanak.

GOLONGAN wanita dan gadis Syria bukan sahaja perlu melindungi diri dari serangan berpeluru serta mortar, tetapi mereka juga terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa serangan seksual.

Sejak kebangkitan rakyat lebih 21 bulan lalu, golongan yang dilabelkan sebagai tidak berdaya ini, terpaksa melarikan diri ke negara jiran kerana tidak sanggup menjadi mangsa perang yang memusnahkan maruah diri.

Pengarah Lokasi Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC), Sanj Srikanthan melaporkan, sebahagian wanita dan gadis Syria mengaku telah diserang sekumpulan lelaki bersenjata di rumah termasuk diperkosa di hadapan khalayak ramai.

"Kebanyakan mangsa mengaku diperkosa lebih daripada seorang penyerang dan ia sering berlaku di hadapan ahli keluarga mangsa.

"Semua pengakuan yang kami peroleh daripada wanita Syria betul-betul menakutkan. Ramai antara mereka melalui pengalaman diperkosa dan diseksa oleh lelaki bersenjata.

"Oleh kerana berstatus pelarian, mereka tidak mampu mendapatkan bantuan fizikal dan emosi," katanya.

Sewaktu menemu bual 240 wanita dan gadis Syria di Lubnan dan Jordan, petugas-petugas IRC diberitahu bahawa kesemua mangsa terlibat dengan jenayah penculikan, penderaan dan pembunuhan dalam sekatan jalan raya tertentu.

"Amat mustahil untuk kita mendapatkan jumlah sahih mangsa serangan seksual ini, tetapi ia jelas menunjukkan serangan yang memusnahkan maruah golongan wanita mahupun kanak-kanak Syria,  salah satu strategi peperangan," kata Srikanthan.

Keganasan seksual dilaporkan menjadi isi utama dalam setiap krisis kemanusiaan seperti yang pernah berlaku sewaktu peperangan Balkan dan konflik di Afrika termasuk Syria.

Pada Jun lalu, kumpulan pemerhati hak asasi kemanusiaan melaporkan tentera kerajaan Syria dengan sewenang-wenangnya mengguna tindakan keganasan seksual terhadap golongan lelaki, wanita dan remaja yang ditahan sepanjang konflik kebangkitan rakyat sejak Mei 2011.

Tahun lalu, Program Inisiatif Mengelak Serangan Seksual diketengahkan Setiausaha Luar Britain, William Hague bagi menangani masalah yang berlaku di Syria.
Seramai 70 doktor, peguam, pakar forensik dan psikologi dihantar ke kawasan konflik.

"Beberapa pakar dari Britain dihantar dan akan menyalurkan latihan untuk mangsa bertindak terhadap serangan seksual, meningkatkan siasatan dan pendakwaan," kata Hague.

Tambah Hague, Britain akan menggunakan kuasa G8 mereka pada tahun ini bagi menolak beberapa protokol antarabangsa baru yang menyekat siasatan terhadap isu serangan seksual dalam negara bergolak.

Setakat ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan jumlah kematian sejak konflik Syria tercetus melebihi 60,000 orang. Lebih 2.5 juta orang daripada 22.5 juta rakyatnya melarikan diri dengan 612,000 orang didaftarkan sebagai pelarian di negara-negara jiran.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan, musim sejuk melampau sejak pada Jumaat lalu, termasuk hujan telah menyukarkan keadaan pelarian Syria yang berlindung kem Zaatari, Jordan.

Sementara itu, Program Makanan Sedunia PBB turut mengingatkan bahawa keadaan musim sejuk melampau termasuk kekurangan bahan bakar mengekang usaha penghantaran bekalan makanan kepada lebih 1 juta pelarian Syria yang kelaparan.

PBB pula mendedahkan, mengalami masalah kekurangan dana dan mengaku telah membuat rayuan meminta sebanyak AS$1.4 bilion (RM4.52 bilion) bagi enam bulan pertama tahun ini.

"Sebahagian penduduk Syria yang tidak melarikan diri berlindung di rumah-rumah keluarga dalam keadaan yang cukup sempit dan tiada kemudahan asas. Selainnya menghuni bangsal, kandang dan bilik bawah tanah yang terbiar," kata jurucakap IRC.

Lapor IRC, kemudahan pendidikan, perubatan dan sumber air di bandar musnah dibom sekali gus menambah tekanan terhadap pelarian.

"Keganasan antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak turut menyekat kemudahan perubatan awam kepada penduduk di mana hospital kerajaan terpaksa ditutup kerana ancaman bom," katanya.

IRC yang memperjuangkan hak kemanusiaan mangsa konflik Syria menegaskan, negara-negara penderma dana sepatutnya mengiktiraf keganasan seksual sebagai salah satu ciri konflik perang saudara negara.   -  TheGuardian