DAMSYIK - SYRIA . Kumpulan militan IS dilaporkan semakin mara ke bandar Hasakah di timur laut Syria dan turut merampas dua kawasan kejiranan daripada tentera kerajaan selepas pertempuran sengit tercetus, semalam.
 
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia di Syria (SOHR) memaklumkan sekurang-kurangnya 50 termasuk 20 anggota IS terbunuh dalam insiden tersebut.
 
"Pertempuran itu tercetus selepas IS menggunakan seorang pengebom berani mati untuk melancarkan serangan di pusat pemeriksaan di bandar terbabit. Susulan daripada itu, IS kini berjaya menguasai dua daerah di bandar tersebut," kata pengarahnya, Rami Abdel Rahman.
 
Menurutnya lagi, kebanyakan penduduk di sekitar kawasan terbabit terpaksa melarikan diri dan mencari perlindungan di bahagian utara bandar itu.
 
Sebelum ini, IS pernah beberapa kali cuba untuk memasuki Hasakah selepas kumpulan militan terbabit semakin mara ke pinggir selatan bandar tersebut.
 
Dalam perkembangan lain, IS didakwa berjaya memasuki semula bandar sempadan Kobani selepas ia dikuasai oleh pejuang Kurdish pada Januari lalu. - Al-Arabiya