Damsyik dibom lagi
Pemandangan jarak jauh serangan bom.
DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan 70 yang lain cedera apabila sebutir bom dimuatkan ke dalam sebuah kereta meletup berdekatan bangunan Kementerian Hal Ehwal Syria, semalam.

Lapor stesen televisyen tempatan, letupan yang dilabelkan sebagai serangan pengganas itu berlaku di tengah daerah Marjeh, Damsyik.

Aktivis hak asasi kemanusiaan Syria berpangkalan di Britain pula melaporkan, angka korban serangan bom berkenaan hanya mencecah sembilan orang.

Pertubuhan berkaitan dengan aktivis di Syria itu bagaimanapun, tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenai mangsa yang terbunuh, tetapi menjangkakan angka kematian mungkin meningkat berdasarkan corak letupan.

Ahli Parlimen Syria, Sharif Shehadeh mendakwa, penyerang dipercayai rakyat biasa yang mendapat tajaan negara luar iaitu Arab Saudi,Qatar dan Amerika Syarikat (AS).

"Arab Saudi, Qatar dan Turki adalah negara yang menyokong Tentera Pembebasan Syria sementara AS membekalkan bantuan bukan senjata bagi menentang rejim Presiden Bashar al-Assad," katanya kepada Al-Jazeera.

Dakwanya, pasukan tentera kerajaan telah melakukan yang terbaik di seluruh negara selain berhadapan dengan serangan terbesar kumpulan pemberontak yang mahu menggulingkan kerajaan Assad.

Sejak bulan lalu, Damsyik dihujani letupan bom termasuk serangan pada 9 April di tengah ibu kota yang meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa penduduk.