Friday 11 April 2014

25 termasuk kanak-kanak maut letupan berkembar di Homs


LETUPAN kereta kedua sempat dirakam di Jalan al-Khudary di kawasan perumahan Karm al-Luz di bandar Homs, Syria, kelmarin. - AFP
BEIRUT 10 April - Kira-kira 25 orang termasuk wanita dan kanak-kanak maut, sementara 107 yang lain cedera semalam dalam kejadian letupan kereta berkembar di tengah-tengah pusat bandar Homs, Syria.
Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan, letupan yang berlaku selang 30 minit setiap satu itu menyasarkan sebatang jalan paling sibuk di Homs iaitu Karm al-Luz.
Insiden tersebut berlaku ketika kerajaan melaporkan terdapat perkembangan terkini mengenai pemberontak yang berada di sempadan Lebanon.
Menurut SANA , seorang jurugambarnya merupakan antara mangsa yang cedera.
Sementara itu, badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan, seramai 12 orang awam terbunuh dalam letupan tersebut.
Menurut badan pemerhati itu yang berpangkalan di Britain, serangan tersebut berlaku di sebuah kawasan yang didiami oleh penduduk Islam yang menyokong Presiden Bashar al-Assad di Syria.
Sementara itu, tentera Syria yang disokong oleh pejuang Hezbollah di Lebanon mendakwa berjaya mengawal Rankous, yang merupakan satu daripada tempat persembunyian penentang kerajaan berhampiran sempadan Lebanon. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140411/lu_04/25-termasuk-kanak-kanak-maut-letupan-berkembar-di-Homs#ixzz2yWGsoG6I
© Utusan Melayu (M) Bhd