MOSCOW - RUSIA. Kerajaan Rusia memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) supaya berhenti menyerang penempatan askar rejim Bashar al Assad di Syria.
Dalam satu kenyataan, Rusia mendakwa mereka bersedia untuk menggunakan sistem pertahanan udaranya untuk membalas serangan jet pejuang AS.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Mejar Jeneral Igor Konashenkov memberitahu serangan dari AS ke kawasan yang dikawal Bashar juga mengancam nyawa tentera Rusia.
"Saya mencadangkan supaya rakan kami di Washington supaya menimbangkan kesan yang munkin timbul dari pelan serangan mereka," kata Igor dipetik laporan Dailymail.
Laporan media sebelum ini mendedahkan AS menimbang untuk menyerang posisi askar rejim.
Rusia 'tidak gembira' selepas sebuah serangan udara yang diketuai AS di Deir el-Zour menyebabkan 60 askar rejim terbunuh pada 17 September lepas.
AS mendakwa serangan tersebut merupakan 'satu kesilapan'.
Igor menambah, sistem pertahanan udara S-300 dan S-400 yang dipindahkan dari Rusia ke Syria akan 'mengejutkan' AS.
Pemindahan sistem pertahanan berkenaan kali pertama didedahkan oleh Rusia pada Selasa lepas.
Sistem pertahanan berkenaan kini terletak di pelabuhan Tartus untuk melindungi sebuah faksiliti milik Rusia dan dan angkatan tentera lautnya di pantai Mediterranean.