Pengarah Amnesty Asia Barat dan Afrika Utara, Philip Luther dalam satu kenyataan berkata, le­bih 25 serangan dilancarkan oleh Rusia di lima kawasan di Syria antara 30 September hingga 29 November lalu.
Namun katanya, kebanyakan serangan yang dilakukan dalam tempoh tersebut menyasarkan kawasan perumahan dan kemudahan perubatan sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan kepada orang awam.
“Hasil kajian juga menunjukkan kegagalan serius oleh Rusia untuk menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Serangan seperti ini sama seperti jenayah perang. Oleh itu, Rusia boleh disiasat secara bebas,” katanya.
Kumpulan hak asasi yang beribu pejabat di London itu memberitahu, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pihak berkuasa Rusia mungkin telah berbohong untuk menutup kematian orang awam di sebuah masjid dan hospital dalam satu serangan udara.
“Terdapat juga bukti yang me­nunjukkan penggunaan bom berangkai oleh Rusia yang telah diha­ramkan di peringkat antarabangsa dalam beberapa serangan di kawasan perumahan penduduk orang awam,” katanya.
Rusia memulakan serangan udara yang menyasarkan militan Negara Islam (IS) dan kumpulan lain pada 30 September lalu, yang dikatakan atas permintaan Pre­siden, Syria Bashar al-Assad.
Moscow telah berkali-kali menafikan pernah menyebabkan kematian orang awam sebaliknya menggambarkan dakwaan tersebut sebagai sebahagian daripada ‘pe­perangan maklumat’.