Monday 15 August 2016

70 korban pertempuran hujung minggu




PENDUDUK melihat kerosakan pada rumah mereka di Idlib. - Reuters

AP
Beirut: Hampir 70 orang awam termasuk lima kanak-kanak terbunuh dalam pertempuran antara penentang dan tentera kerajaan dari Sabtu hingga semalam di wilayah Aleppo dan Idlib.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di Britain semalam berkata, serangan udara dan bedilan oleh tentera kerajaan ke atas kawasan penentang di bandar Aleppo serta sekitarnya menyebabkan 40 orang awam terbunuh.

Serangan yang bermula pada Sabtu dan diteruskan semalam dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 45 orang awam di Aleppo dan 22 di wilayah Idlib berhampiran.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Penyelaras Tempatan meletakkan jumlah mangsa yang terkorban sebanyak 45 orang.

Serangan pemberontak di daerah yang dikuasai kerajaan di bandar Aleppo turut mengorbankan sembilan orang awam - dua daripadanya kanak-kanak - dan mencederakan 22 yang lain, kata media kerajaan dan kumpulan pemerhati itu.

Pemberontak dan tentera prokerajaan bergelut untuk menguasai kawasan yang dulunya bandar terbesar dan pusat komersial Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:54 AM