Warga Palestin bersatu pertahan Yarmouk
Seorang pejuang Palestin mengambil kedudukan di sebuah pos kawalan di kem pelarian Yarmouk.
DAMSYIK - SYRIA. Warga Palestin di Syria bergabung tenaga dengan puak bersenjata dalam usaha mempertahankan kem pelarian Yarmouk selepas kumpulan militan IS menguasai sebahagian besar kawasan itu.

Difahamkan, pelarian Palestin dari beberapa kem di Syria menyerbu ibu pejabat kumpulan Fatah al-Intifada untuk menawarkan diri memerangi IS.

Wakil kumpulan terbabit, Tayseer Mousa berkata, sukarelawan turut membantu mereka membina halangan.

IS menyerbu kem pelarian yang menempatkan kira-kira 18,000 pelarian Palestin dan warga Syria itu, pada 1 April lalu.

Kelmarin, Ketua Agensi Bantuan dan Pemulihan PBB (UNRWA), Pierre Krahenbuhl mengumumkan pihaknya bakal ke Syria bagi membincangkan bantuan kepada orang awam yang terperangkap di kem tersebut.

Difahamkan, terdapat kira-kira 3,500 kanak-kanak masih terperangkap di situ.

Dalam pada itu, ketua delegasi Palestin di PBB, Riyad Mansour merayu bantuan antarabangsa dalam apa jua bentuk untuk menjamin keselamatan di laluan pemindahan pelarian Yarmouk. - Press TV