Canselor Jerman, Angela Merkel berkata, negaranya tidak mampu bertindak bersendirian untuk menampung jumlah pelarian yang terlalu ramai disebabkan faktor ekonomi.
Jelasnya, Jerman merupakan negara yang besar dan kuat, tetapi kerajaannya tidak boleh menyelesaikan isu itu bersendirian tanpa bantuan negara lain.
“Eropah perlu bertindak bersama dan mengambil tanggungjawab menyelesaikan krisis tersebut bersama,” katanya.
Presiden Perancis, Francois Hollande turut menyokong kenyataan Merkel itu sambil berkata, tiada negara Eropah boleh dikecualikan dalam membela nasib pelarian, walaupun perbalahan timbul berhubung pembahagian sama rata pencari suaka politik di benua ini.
Menurut Hollande, pembahagian pelarian perlu melibatkan semua negara Eropah, bagi mengelakkan perpaduan yang dibina berdasarkan nilai dan prinsip, berpecah-belah dalam kalangan negara anggota.
“Saya telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri (Perancis), Bernard Cazeneuve untuk mempertahankan pelan kuota pada mesyuarat antara menteri dalam negeri Kesatuan Eropah (EU) yang dijadual diadakan esok.
“Kami akan memastikan mekanisme ini berkesan mengikut syarat yang ditetapkan supaya komitmen dalam kalangan anggota EU berterusan dan mengelakkan negara yang sama menerima pelarian,” katanya.
Mengikut usul yang dicadangkan Perancis, setiap negara Eropah perlu menerima pelan pembahagian semula 160,000 pelarian dan skim secara sukarela itu akan dibentangkan pada sidang kemuncak pemimpin EU yang dijadual berlangsung lusa di Brussels.
Sementara itu, Hungary membuka semula laluan utama di sempadannya dengan Serbia, hari ini selepas penutupan selama seminggu awal minggu lalu menyebabkan beribu-ribu pelarian terkandas dan beralih arah ke Croatia.
Menurut laporan portal ABC, beribu-ribu pelarian yang bergerak menggunakan bas dan kereta api menuju ke sempadan Austria selepas Kementerian Dalam Negeri Hungary dan Serbia bersetuju membuka laluan sempadan Horgos-Roszke 1, yang ditutup sejak Isnin lalu.
Menteri Dalam Negeri Hungary, Sandor Pinter berkata, penutupan sempadan yang dilaksanakan ekoran timbul beberapa masalah kepada kedua-dua negara.
“Hasil kerjasama dengan Serbia, masalah tersebut telah diselesaikan dan persetujuan dicapai untuk membuka semula sempadan,” katanya.
Pinter dan rakan sejawatnya dari Serbia, Nebojsa Stefanovic membenarkan laluan lebuh raya utama yang menghubungkan Budapest dan Belgrade dibuka kepada pelarian yang mahu menuju ke utara Eropah.
Semalam, Budapest turut mengarahkan pihak tentera yang disokong unit berperisai mengawal sempadan bagi mengelakkan kumpulan pelarian yang kebanyakannya dari Syria memasuki negara ini sebagai negara transit sebelum menuju ke negara-negara Eropah yang lebih kaya.
Tempoh penutupan sempadan itu juga mengakibatkan ramai pelarian beralih arah ke Croatia, tetapi negara jiran Hungary itu gagal menampung jumlah pencari suaka politik yang terlalu ramai.
Susulan itu, Croatia bertindak menghantar semula kumpulan pelarian itu ke Hungary atau Slovenia, menyebabkan tercetus perbalahan antara ketiga-tiga negara Eropah tersebut. – AFP/REUTERS