Friday 21 March 2014

Senjata kimia dibawa keluar


Gambar bertarikh 29 Ogos 2013 merakamkan pakar senjata kimia daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memakai penutup muka dan memeriksa beg plastik mengandungi sampel dari satu kawasan yang dipercayai diserang menggunakan senjata kimia di kawasan perumahan Ain Tarma di Damsyik. - REUTERS
BEIRUT 20 Mac - Hampir separuh bahan-bahan kimia yang digunakan untuk membina senjata kimia Syria telah dibawa keluar dari negara itu selepas dua lagi kargo mengandungi bahan tersebut dimuat naik ke atas kapal-kapal yang dihantar khusus untuk tujuan itu di Laut Mediterranean pada minggu lalu.
Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) berkata, sebanyak 45.6 peratus senjata kimia Syria telah dipindahkan dari pelabuhan Latakia untuk dimusnahkan di luar negara itu.
Pertubuhan itu berkata, dengan penghantaran keluar dua kargo terbaharu itu bermakna 29.5 peratus bahan kimia yang dianggap paling berbahaya yang dipanggil Keutamaan 1 milik Syria berjaya dipindahkan.
"Sebanyak 82.6 peratus bahanyang dikategorikan sebagai Keutamaan 2 turut dipindahkan dalam penghantaran terbaharu tersebut,’’ kata pertubuhan berkenaan.
Syria bersetuju menyerahkan senjata kimianya untuk dimusnahkan pada tahun lalu selepas menandatangani perjanjian dengan Rusia dan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, program pemusnahan tersebut tidak mengikuti jadual dan berisiko melebihi tarikh akhir yang ditetapkan untuk memusnahkan bahan-bahan kimia itu iaitu pada 30 Jun ini.
- REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140321/lu_03/Senjata-kimia-dibawa-keluar#ixzz2wZHjGdHV
© Utusan Melayu (M) Bhd