• Bukti gas beracun di SyriaFoto yang didakwa sebagai bahan bertoksik tinggi yang disimpan di dalam stor anggota FSA di bandar Jobar.

DAMSYIK - SYRIA. Ribuan penduduk mengalami gejala keracunan neurotoksik dan seramai 355 lagi terbunuh di Damsyik membabitkan satu serangan senjata kimia.

Pengarah perubatan kumpulan bantuan Medecins Sans Frontieres (MSF), Bart Janssens berkata, seramai 3,600 mangsa membanjiri tiga hospital hanya dalam tempoh sejam sejurus pinggir bandar al-Ghouta diserang.

"Majoriti pesakit menunjukkan tanda-tanda terdedah kepada agen gas neurotoksik, namun MSF tidak dapat menentukan siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini," kata Janssens dalam laporan MailOnline.

Janssens berkata demikian selepas ketibaan Wakil Tertinggi Hal Ehwal Pelucutan Senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Angela Kane ke Damsyik bagi tujuan menggesa
kumpulan penyiasat badan itu diberi pelepasan memasuki lokasi serangan.

Minggu lalu, beberapa hari sebelum serangan, sepasukan pemeriksa khas PBB tiba di Syria untuk menyiasat kewujudan penggunaan senjata kimia. Setakat ini, kumpulan anggota
Tentera Pembebasan Syria (FSA) menafikan dakwaan bertanggungjawab terhadap serangan namun enggan membenarkan pasukan khas PBB itu memasuki lokasi kejadian.

Kelmarin, stesen TV tempatan melaporkan sepasukan keselamatan Syria berjaya mengepung sebuah gudang dalam kawasan Jobar, dipercayai menjadi tempat simpanan bahan bertoksik tinggi.

Sementara itu, aktivis antarabangsa berkata, insiden gas beracun di Damsyik bakal dilabelkan sebagai serangan terbesar di Syria sejak kejadian pembunuhan etnik Qurds ketika di zaman pemerintahan Saddam Hussein.