Thursday 17 March 2016

Rusia teruskan serangan?

17 MAC 2016
Rusia teruskan serangan?

 Pesawat pengebom, SU-34 mula meninggalkan Syria, kelmarin.

MOSCOW - RUSIA. Rusia akan meneruskan kempen serangan udara di Syria walaupun ia telah memanggil pulang tenteranya.
Kelmarin, Timbalan Menteri Pertahanan, Nikolay Pankov memaklumkan masih terlalu awal untuk mengulas tentang perkara itu selepas Moscow melancarkan campur tangan ketenteraan di negara bergolak tersebut pada 30 September lalu.
Tentera Rusia dilaporkan mula meninggalkan Damsyik selepas Presiden Vladimir Putin membuat pengumuman mengejutkan itu.
Susulan daripada itu, Wakil Khas PBB, Staffan de Mistura yang menjadi pengantara dalam rundingan damai Syria turut menyambut baik keputusan tersebut.
"Pengumuman itu dibuat pada hari pusingan baharu rundingan damai di Geneva. Ia adalah satu perkembangan yang penting dan diharap dapat memberi kesan positif kepada perkembangan proses rundingan tersebut," katanya.
Dalam satu kenyataan lain, Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan satu lagi kumpulan jet terdiri daripada Su-25 dan pesawat pengangkut Il-76  telah berlepas melalui pangkalan tentera udara Hmeimim berhampiran bandar tenggara, Latakia.  
Sehari sebelum itu, kumpulan pertama terdiri daripada kelengkapan ketenteraan dan angkatan tentera dilaporkan mula meninggalkan negara itu. - Press TV

Hampir separuh tentera Russia keluar Syria

RABU, 16 MAC 2016 @ 11:00 PM

MOSCOW: Hampir separuh pesawat serangan udara Russia yang berpangkalan di Syria berlepas pulang ke negara itu sejak dua hari lalu, menurut satu kiraan Reuters yang memberi gambaran Kremlin sedang mempercepatkan pengunduran sebahagian aset ketenteraan negara itu. Isnin lalu,

Presiden Vladimir Putin mengarahkan sebahagian besar kontingen tentera Russia di Syria balik selepas lima bulan menjalankan serangan udara dengan menyatakan Russia mencapai hampir seluruh matlamatnya.


PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto AP

Jumlah sebenar pesawat Russia di pangkalan udara Hmeymim di wilayah Latakia, Syria adalah rahsia. Namun, analisis imej satelit, serangan udara dan kenyataan Kementerian Pertahanan membayangkan negara itu mempunyai 36 jet tentera di Syria.

Sekurang-kurangnya 15 daripada pesawat itu sudah berlepas pulang sejak dua hari lalu, menurut satu analisis Reuters menggunakan rakaman televisyen kerajaan Russia dan turut membabitkan jet Su-24, Su-25, Su-30 dan Su-34.

Reuters gagal mendapat pengesahan pergerakan pesawat terbabit dan ia mustahil untuk menentukan sama ada pesawat terbabit terbang ke Syria untuk menggantikan pesawat yang sudah balik.

Analisis tentera menyatakan pesawat Su-24 dan Su-25 dihantar pulang adalah pesawat lama era-Soviet yang sudah diperbaharui dan menjadi jentera serangan utama kempen Russia di Syria. - REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/134349

Pengunduran Russia bukan kejutan

Geneva: Pengunduran tentera Russia dari Syria bukan satu kejutan, kata ketua perwakilan Syria ke rundingan damai di Geneva, Bashar Ja’afari, semalam.
Menurutnya, keputusan Russia mengundurkan sebahagian tenteranya dari Russia adalah keputusan bersama yang dipersetujui oleh Presiden Putin (Vladimir, Russia) dan Presiden Bashar al-Assad.
“Kerana itu kami tidak terkejut,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat di pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dia juga menolak cadangan membentuk satu negara persekutuan di Syria dan memberitahu, rejim Bashar belum bersedia mengadakan rundingan damai secara langsung dengan wakil kumpulan penentang rejim berkenaan.
Di Riyadh, Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir menyambut baik keputusan Russia dan berharap ia akan memaksa Bashar akur kepada kehendak masyarakat antarabangsa.
“Kami berharap keputusan Russia akan mempercepatkan proses politik berdasarkan perisytiharan Geneva 1 dan memaksa Bashar bersetuju kepada penyerahan kuasa sebagai cara untuk menamatkan perang saudara di negaranya,” kata Adel. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:48 AM


ANGGOTA tentera Russia menyelenggara pesawat Sukhoi Su-25 sebelum ia berlepas pulang ke Moscow, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/123354#sthash.Pr9sDevI.dpuf