Tawaran itu dikemukakan apabila Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal Meqdad mengadakan pertemuan dengan delegasi dari Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang diketuai oleh Ahmad Majdalani di Dasmyik.
Menurut Faisal, kerajaan Syria dan PLO mempunyai tekad yang sama untuk memerangi keganasan militan IS yang kini menular di kem pelarian Palestin di negara ini terutamanya di Yarmuk.
“Selain itu, kerajaan telah menggunakan segala usaha bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada pelarian Pa­lestin selepas mengeluarkan mereka dari kem Yarmuk dengan selamat.
“Pihak berkuasa Syria juga sedia menyokong pejuang Palestin de­ngan cara tertentu termasuk kekuatan tentera bagi mengusir militan IS dari kem terbabit,” jelasnya.
Mengulas tentang pertemuan dengan Faisal, Ahmad berkata, kedua-dua pihak bersetuju tentang keperluan satu pasukan bersekutu melibatkan pejuang Palestin dan kerajaan Syria.
Jelasnya, kerjasama pe­mimpin Syria dan Palestin akan diteruskan bagi memastikan keganasan militan IS dapat dihentikan di Yarmuk.
Satu pertemuan membabitkan kumpulan Palestin di Syria berlangsung hari ini bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
Sebarang persetujuan yang dicapai bakal memulihkan hubungan Damsyik dan kumpulan Palestin di Yarmuk selepas pertempuran sengit yang tercetus di kawasan itu sejak hujung 2012 membabitkan tentera kerajaan dan kumpulan penentang kerajaan yang disokong pejuang Palestin.– AFP