Wednesday 20 July 2016

Turki tahan 103 jeneral, laksamana

Kosmo! Online - Dunia:







REUTERS - SALAH seorang komander pangkalan tentera udara Incirlik, Jeneral Bekir Ercan Van (tengah) dibawa ke bangunan mahkamah di Adana, Turki semalam.



















ISTANBUL – Pasukan keselamatan Turki semalam menjalankan serbuan terbaharu terhadap suspek komplot rampasan kuasa yang gagal menggulingkan pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika kebimbangan antarabangsa meningkat berhubung tindakan balas itu.



Pihak berkuasa berkata, sekitar 7,500 orang ditahan setakat semalam dalam siasatan mengenai rampasan kuasa pada Jumaat lalu yang menurut Erdogan, dilakukan oleh musuh ketatnya, pendakwah yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen.



Agensi berita Anadolu melaporkan, unit khas anti-pengganas di Istanbul menyerbu akademi tentera udara di kota itu awal pagi semalam dalam usaha mencari suspek baharu.



Menurut Anadolu, seramai 1,800 anggota pasukan elit polis telah dikerahkan dari wilayah sekitarnya untuk memastikan keselamatan di Istanbul.



Dalam pada itu, pihak berkuasa turut menahan Jeneral Mehmet Disli yang menjalankan operasi untuk menangkap ketua tentera, Hulusi Akar Turki ketika rampasan kuasa berlaku, kata seorang pegawai.



Laporan media tempatan menyatakan, seramai 103 jeneral dan laksamana telah ditahan setakat ini. Agensi berita Dogan melaporkan semalam bahawa 10 daripada mereka kini ditahan reman oleh mahkamah.



Selain itu, pihak berkuasa turut menyingkirkan seramai 9,000 anggota dan pegawai polis di seluruh Turki termasuk di Istanbul dan ibu kotanya, Ankara kerana disyaki terlibat dalam cubaan rampasan kuasa pada Jumaat lalu.



Terdahulu, Erdogan menggesa rakyat Turki untuk terus berada di jalan-jalan raya walaupun rampasan kuasa itu berakhir. Pihak berkuasa membayangkan kehadiran rakyat sebagai langkah berjaga-jaga dan usa­ha untuk mengekalkan demokrasi.



Seorang koresponden agensi berita AFP berkata, perhimpunan menyokong Erdogan terus diadakan di seluruh negara sepanjang malam kelmarin.



Seramai 11 anggota tentera yang disyaki terlibat dalam rampasan kuasa telah ditahan di Lapangan Terbang Sabiha Gocken di sini.



Sementara itu pemimpin dunia termasuk Presiden AS, Barack Obama dan Canselor Jerman, Angela Merkel menggesa Turki supaya mematuhi peruntukan undang-undang ketika melancarkan operasi mematahkan rampasan kuasa itu. – AFP







Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0719&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4ExFQVqTI

Hakcipta terpelihara

'via Blog this'

Syria: Serangan terbaharu korbankan 28 - Luar Negara - Utusan Online

Syria: Serangan terbaharu korbankan 28 - Luar Negara - Utusan Online:

Anggota perubatan Syria memberikan rawatan ke atas seorang lelaki



 "Anggota perubatan Syria memberikan rawatan ke atas seorang lelaki yang cedera selepas sebuah bom tong meletup di luar Hospital Omar bin Abdaziz di daerah Maadi, utara bandar Aleppo, kelmarin. - AFP



ALEPPO 18 Julai - Serangan udara tentera kerajaan Syria dan sekutunya, Rusia di daerah yang dikuasai kumpulan penentang di bandar Aleppo mengorbankan sekurang-kurangnya 28 orang awam termasuk kanak-kanak, semalam.



 Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, jumlah kematian penduduk dalam serangan yang diakibatkan oleh bom tong itu dijangka terus meningkat ketika bandar tersebut terus dibedil jet tentera kerajaan.

“Sebanyak 11 orang awam termasuk empat kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara selepas tengah malam di kawasan Bab al-Nasr di Old Aleppo manakala tujuh lagi maut dalam serangan di kawasan perumahan Fardous,” kata badan itu.



 Kata badan itu lagi, sekurang-kurangnya enam maut termasuk seorang kanak-kanak dan dua wanita dalam serangan di daerah Salhin manakala empat lagi kematian dilapor berlaku di kawasan perumahan lain yang dikuasai kumpulan penentang.



 Pertubuhan yang bergantung maklumat kepada rangkaian sumber di seluruh Syria itu berkata, serangan itu dilancarkan sama ada jet pejuang Rusia dan Syria.

“Sekurang-kurangnya 20 orang lagi masih tertimbus di bawah runtuhan,” kata ketua badan itu, Rami Abdel Rahman.



 Dalam pada itu, agensi berita Syria, SANA melaporkan, seorang terbunuh manakala sembilan lagi cedera dalam serangan roket oleh kumpulan penentang di kawasan yang dikuasai kerajaan di bandar Aleppo.



 Menurut koresponden AFP di timur Aleppo, helikopter dan jet tentera kerajaan mengelilingi kawasan perumahan dikuasai penentang dengan menjatuhkan bom tong dan peluru berpandu di beberapa kawasan.

Sementara itu, sebuah hospital di kawasan perumahan Maadi turut terkena bedilan bom mengakibatkan kecederaan kepada kakitangan dan pesakit.



 “Pelbagai jenis senjata digunakan untuk mengebom hospital daripada tengah malam sehingga pukul 1 pagi. Kini ia tidak dapat digunakan lagi,’’ kata seorang doktor, Mohammad Kheir. - AFP"



'via Blog this'