Friday 22 January 2016

2,000 pelarian lintasi Macedonia ke Jerman, Austria

KHAMIS, 21 JANUARI 2016 @ 11:40 PM
POLIS memeriksa kertas pendaftaran pelarian sebelum menyeberangi sempadan Greek-Macedonia. - Foto AP
IDOMENI: Selepas bermalam di sempadan Greek-Macedonia dalam suhu bawah takat beku, kira-kira 2,000 pelarian terutama dari Syria hari ini meneruskan perjalanan berliku mereka ke utara Eropah yang disekat sementara akibat penutupan sempadan di Skopje.
"Saya gembira masalah itu diselesaikan. Saya mahu pergi ke Jerman untuk menyambung pengajian," kata Imad, 19 tahun.
Imad dan kira-kira 1,200 pelarian konflik lain dari Syria, Iraq dan Afghanistan, menghabiskan waktu malam dalam khemah panas dikendalikan kumpulan bantuan.
Walaupun sempit dan menyesakkan dengan bau badan, khemah itu lebih selesa untuk tidur berbanding bas parkir, yang terpaksa diduduki kira-kira 600 pelarian lain akibat kekurangan tempat.
Macedonia minggu ini memutuskan untuk menutup sempadannya dengan Greece dan hanya membukanya semula hari ini untuk pelarian yang berhasrat meneruskan perjalanan ke Jerman atau Austria.
"Lintasan sempadan untuk pendatang berhampiran Gevgelija (bandar sempadan Macedonia) dibuka awal pagi ini, namun hanya pendatang yang mana kertas pendaftaran bahasa Greek menunjukkan destinasi akhir mereka sebagai Jerman atau Austria saja boleh melaluinya," kata seorang pegawai polis kanan di Skopje kepada AFP.
Polis Greek juga membantu dengan menambah perkataan "Jerman" atau "Austria" pada kertas pendaftaran pelarian. Menjelang tengah hari, kira-kira 400 pendatang sudah menyeberangi sempadan.
"Ia adalah prosedur sementara bagi mengurangkan tekanan ke atas kem, yang hanya boleh menempatkan 1,500 pendatang pada satu-satu masa," kata sumber polis Greek.
Kumpulan bantuan memberi amaran, sumber mereka sudah dilanjutkan ke peringkat maksimum, meningkatkan kebimbangan nasib keluarga dengan kanak-kanak kecil.
Kayu dibakar dalam tong di luar khemah dan bangku sudah diletakkan supaya pelarian tidak perlu duduk di atas tanah beku.
Ketua misi Doctors Without Borders (MSF) ke sempadan Greek, Antonis Rigas, berkata jika aliran itu berterusan, tiada peluang untuk menyediakan tempat.
"Ia menjadi amat sejuk pada waktu malam. Pada awal pagi, suhu adalah negatif tujuh darjah Celcius," katanya. - AFP