SANAA - YAMAN . Sekurang-kurangnya 20 lelaki menjadi korban kekejaman terbaharu kumpulan militan IS selepas mereka menguasai bandar purba Palmyra pada minggu lalu.
 
Ketua Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia di Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman berkata, kesemua mangsa yang dituduh sebagai penyokong rejim Presiden Bashar al-Assad ditembak mati di hadapan khalayak ramai.
 
"Mereka menggunakan ruang teater yang menjadi mercu tanda di Palmyra untuk melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu," katanya.
 
Sekurang-kurangnya 217 termasuk 67 orang awam telah dibunuh sejak bandar purba tersebut berada di bawah cengkaman IS.
 
Minggu lalu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Federica Mogherini memberi amaran bahawa ribuan orang terdedah kepada risiko keganasan dan lebih banyak tapak bersejarah bakal dimusnahkan.
 
"Pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan warisan arkeologi secara sengaja di Syria serta Iraq adalah satu jenayah perang mengikut Mahkamah Jenayah Antarabangsa Statut Rom," menurutnya. - AFP