Gencatan senjata yang kedua dilaksanakan pada bulan ini melibatkan tentera Syria dibantu kumpulan bersenjata Hezbollah dari Lebanon dan kumpulan penentang kerajaan Syria di pekan Zabadani bersempadan dengan Lebanon dan dua kampung iaitu Kefraya dan al-Foua di wilayah Idlib.
Selain itu, gencatan senjata ter­ba­bit dipersetujui bagi memberi ruang kepada kumpulan penentang berundur dari Zabadani dan pemindahan penduduk di dua kampung berkenaan.
Dalam perkembangan lain, kerajaan Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia, menunjukkan tanda-tanda positif untuk melaksanakan gencatan senjata secara penuh bermula 1 September ini, sekali gus menamatkan keganasan antara kedua-dua pihak di timur Ukraine yang berlanjutan sejak lebih setahun lalu.
Perjanjian gencatan tersebut di­tandatangani pada Februari lalu se­bagai membuka laluan kepada penyelesaian secara politik termasuk usul mengadakan pilihan raya tempatan dan penubuhan sebuah pengurusan khas bagi wilayah yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia.
Gencatan senjata itu diusahakan oleh wakil Pertubuhan Kerjasama dan Keselamatan Eropah (OSCE) dengan melibatkan wakil puak pemberontak, kerajaan Ukraine dan Rusia.
Pegawai OSCE, Martin Saidik berkata, ketiga-tiga pihak terbabit bersetuju terhadap kepentingan men­capai perjanjian gencatan senjata yang kukuh menjelang sesi persekolahan baharu.
Selain itu, ketua pemberontak, Vladislav Deinego menyuarakan harapan agar serangan meriam akan dihentikan bermula 1 September.
“Semua pihak menunjukkan petanda positif terhadap pelaksanaan penuh gencatan senjata yang dipersetujui ini,” katanya. – REUTERS