Monday 9 January 2017

Assad beri bayangan sedia berundur



ISNIN, 9 JANUARI 2017 @ 9:01 PM Assad beri bayangan sedia berundur PRESIDEN Syria, Bashar al-Assad. BEIRUT: Presiden Syria, Bashar al-Assad berkata, kerajaannya bersedia berunding 'pelbagai perkara' dalam cadangan rundingan damai di Kazakhstan namun tidak jelas siapa wakil pembangkang dan tiada tarikh diputuskan. Assad juga berkata, gencatan senjata dibantu Turki dan Russia, sekutu kuatnya, dicabul dan tenteranya akan menawan keseluruhan Syria termasuk kawasan dikawal pemberontak berhampiran Damsyik di mana bekalan air utama diserang. Kenyataan itu dibuat dalam komen kepada media Perancis diterbitkan agensi berita Syria, SANA. Russia berkata bulan lalu, ia bersetuju dengan Assad, Iran dan Turki bahawa ibu kota Kazakhstan, Astana menjadi tempat rundingan damai baharu selepas pemberontak mengalami kekalahan terbesar perang selepas diusir dari timur Aleppo. Russia dan Turki, penaja utama penentangan anti-Assad, membantu usaha damai sebagai langkah ke hadapan memulihkan diplomasi, walaupun pihak bertelagah saling tuduh menuduh melakukan pencabulan. Assad berkata, delegasi kerajaan sentiasa bersedia berunding di Astana "apabila tarikh persidangan ditetapkan." "Kami bersedia berunding mengenai segala-galanya," katanya. Ditanya jika ia termasuk kedudukannya sebagai presiden, Assad berkata "ya namun kedudukan saya dikaitkan dengan perlembagaan." "Jika mereka mahu membincangkan perkara ini, mereka perlu membincangkan perlembagaan," katanya memberi petunjuk mana-mana perlembagaan baharu perlu melalui pungutan suara dan terpulang kepada rakyat Syria memilih presiden. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/232332