Menurut seorang wartawan AFP, trak-trak yang membawa bekalan makanan termasuk gandum, bantuan perubatan dan produk kebersihan dihantar ke bandar itu, selepas berpuluh-puluh penduduk di bandar tersebut dilaporkan mati kebuluran sejak bulan lalu.
Isnin lalu, satu konvoi bantuan kemanusiaan mula memasuki bandar Madaya, bagi menyerahkan bantuan kemanusiaan buat kali pertama dalam tempoh enam bulan.
Jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Pawel Krzysiek mengesahkan konvoi baharu bantuan kini dalam perjalanan dari Damsyik ke Madaya.
“Keutamaan adalah tepung gandum dan bantuan perubatan, kumpulan ICRC turut membawa pakar pemakanan untuk membuat pemeriksaan ke atas penduduk,” katanya.
Sementara itu, dalam konvoi berasingan terdiri daripada 17 buah trakmembawa bantuan meninggalkan bandar Fuaa dan Kafraya di barat laut negara ini yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan.
Jurucakap Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Linda Tom berkata, kumpulan ketiga konvoi bantuan akan masuk ke bandar-bandar terbabit dalam masa terdekat. – AFP