Friday 1 January 2016

157 militan serah diri

157 militan serah diri

1 JANUARI 2016

DAMSYIK - SYRIA. Sekurang-kurangnya 157 anggota kumpulan militan IS menyerah diri kepada tentera Syria selepas unit pasukan keselamatan negara yang disokong kumpulan pertahanan bersekutu terus berjaya dalam pertempuran di seluruh negara.
Menurut laporan agensi berita SANA, seramai 117 pengganas meletakkan senjata dan menyerah diri kepada pihak berkuasa di bahagian barat bandar Homs, kelmarin.
"40 orang lagi menyerah diri di ibu negara dan di tengah bandar Hama," menurut laporan berita itu.
Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya 16 maut manakala 35 yang lain cedera dalam beberapa siri letupan didakwa dilakukan IS di bandar Qamishli, terletak kira-kira 680 kilometer dari timur laut ibu negara.
Tiga letupan memusnahkan tiga restoran di bandar tersebut, menyasarkan orang ramai yang berkumpul bagi meraikan kedatangan tahun baharu.
Kumpulan terbabit bagaimanapun mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan melalui satu kenyataan dalam talian bertulis, puluhan orang terbunuh dan cedera dalam pengeboman di kawasan berbeza di bandar Qamishli, lapor Press TV
.

Dua Letupan Bom Di Syria Ragut 16 Nyawa


Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2015 10:12 AM

BEIRUT: Kira-kira 16 orang awam terbunuh manakala 35 lagi cedera selepas dua bom meletup dan memusnahkan dua restoran di bandar dekat timur laut Syria, kata pihak berkuasa Kurdis.
Militia Unit Pertahanan Rakyat (YPG) Kurdis, Redur Xelil berkata letupan di Qamishli, dekat sempadan Turki itu didakwa dilakukan Kumpulan Militan Negara Islam (IS).
Pemantau hak asasi manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata berlaku letupan ketiga di bandar yang diduduki majoriti penduduk Kristian itu, namun pihaknya tidak mengulas lanjut mengenainya.
YPG adalah pasukan tempur darat paling efektif di Syria yang bersekutu dengan tentera gabungan diketuai Amerika Syarikat untuk menentang IS.
Pada Oktober lalu ia menjadi sebahagian pakatan Angkatan Demokratik Syria yang di sokong AS dan melancarkan serangan ke atas IS di timur laut wilayah Hasaka.
Serangan itu memaksa IS berundur ke bandar di sempadan Iraq manakala angkatan Kurdis di Iraq menawan bandar Sinjar daripada kumpulan jihad.
IS melancarkan banyak serangan di kawasan Kurdis kebelakangan ini termasuk yang menggorbankan berpuluh nyawa pada awal bulan ini. 

AS tuduh Rusia bunuh orang awam Syria

AS tuduh Rusia bunuh orang awam Syria

31 DISEMBER 2015

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Amerika Syarikat (AS) mendakwa operasi ketenteraan Rusia di Syria sejak September lalu, telah meragut ratusan nyawa penduduk awam di negara itu.
Jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner berkata serangan udara yang kononnya disasarkan ke atas kedudukan kumpulan IS itu turut memusnahkan hospital, sekolah dan pasar awam.
"Pada bulan Oktober dan November sahaja, kira-kira 130,000 rakyat Syria hilang tempat tinggal atau menjadi pelarian akibat serangan udara Rusia," katanya.
Sebelum ini, AS turut menuduh Rusia sengaja menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan yang terjejas.
Ironinya, pakatan tentera antarabangsa diketuai AS telah melancarkan serangan udara di Syria sejak Ogos 2014 tanpa kebenaran Damsyik mahupun mandat dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Press TV
.