Thursday 27 November 2014

95 korban serangan udara

LAGI mayat mangsa ditemui di tepi jalan di sekitar bandar Raqqa.
Beirut : Jumlah kematian akibat satu siri serangan udara yang dilancarkan tentera rejim Syria terhadap kubu kuat kumpulan Negara Islam (IS) di timur laut negara itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 95 orang.
Ia menjadikan serangan berkenaan yang paling buruk di bandar Raqqa sejak tiga tahun lalu.
Sebahagian daripada serangan berkenaan itu menyasarkan sebuah pasar popular berhampiran sebuah muzium dan kawasan perindustrian di bandar yang terletak di sepanjang Sungai Furat, menyebabkan ramai orang awam mati.
Pengarah Kumpulan Pemerhati bagi Hak Asasi Syria, Rami Abdurrahman berkata, antara yang terbunuh ialah 52 orang awam, termasuk tiga wanita dan empat kanak-kanak.
“Sekurang-kurangnya 120 orang cedera dalam serangan berkenaan,” kata kumpulan yang berpusat di London itu.
Aktivis lain, termasuk Jawatankuasa Penyelaras Tempatan menganggarkan lebih 100 orang terbunuh.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan jumlah militan IS yang mati.
Kerajaan Syria dan kumpulan negara yang diketuai Amerika Syarikat sering mengebom sasaran IS di Raqqa.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca serangan besar-besaran yang luar biasa itu dilakukan tentera Syria.
IS sebelum ini didakwa membunuh beratus-ratus askar Syria sejak beberapa bulan lalu dan baru-baru ini menerbitkan video menunjukkan apa yang dikatanya pemenggalan puluhan tentera yang setia dengan Presiden Bashar al-Assad, termasuk pegawai.
IS menguasai sepertiga Syria dan Iraq dan mengisytiharkan wilayah itu sebagai sebahagian negara ‘khalifah’ mereka.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:07 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12114#sthash.ykGtc70P.dpuf

63 maut dalam serangan tentera udara Syria


SEORANG lelaki berjalan berhampiran beberapa buah kenderaan yang terbakar dalam satu serangan udara oleh tentera Syria di bandar Raqa kelmarin.


DAMSYIK – Satu siri serangan udara oleh tentera udara Syria kelmarin menyebabkan sekurang-kurangnya 63 maut di bandar Raqa yang dikuasai kumpulan Islamic State (IS).
Serangan tersebut merupakan yang terburuk dilancarkan oleh tentera Syria terhadap Raqa sejak bandar itu jatuh ke tangan militan IS pada tahun lalu.
Pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, serangan tersebut menyebabkan 63 orang terbunuh manakala 36 daripada mangsa adalah orang awam.
“Sebanyak 20 lagi identiti mangsa masih belum dikenal pasti termasuk tujuh mayat yang hampir berkecai,” katanya.
Ujarnya, ramai mangsa terbunuh dalam dua serangan berturut-turut di sebuah lokasi industri utama di bandar tersebut.
“Selepas serangan pertama ramai penduduk keluar untuk membantu mangsa yang cedera dan tidak lama selepas itu serangan kedua menyusul di lokasi yang sama,” katanya.
Beberapa rakaman video amatur menunjukkan sejumlah mayat berlumuran darah bergelimpangan di sebatang jalan dan beberapa buah ambulans dilihat tiba di lokasi.
Sekumpulan anggota penyelamat yang memakai lambang Palang Merah juga dilihat memasukkan mayat mangsa ke dalam beg plastik berwarna putih.
Beberapa aktivis di bandar itu mengecam serangan udara tersebut yang dianggap mereka sebagai satu pembunuhan beramai-ramai. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3KDQWdBUc 
Hakcipta terpelihara 

Serangan udara di Raqqa, lebih 95 orang maut

Pasukan perubatan mengumpulkan mayat mangsa di sebuah hospital
Pasukan perubatan mengumpulkan mayat mangsa di sebuah hospital selepas serangan udara tentera Syria di Raqqa untuk memerangi militan IS. – REUTERS
BEIRUT 26 Nov. – Lebih 95 orang termasuk orang awam maut dalam serangan udara tentera kerajaan Syria di timur laut bandar Raqqa, semalam.
Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria, Rami Abdel Rahman berkata, sebanyak 10 pesawat tentera Syria menggempur sasaran di bandar berkenaan sekurang-kurangnya sebanyak 10 kali yang menjadi kubu kuat kumpulan militan Negara Islam (IS).
Jelasnya, serangan udara tersebut tertumpu di sebuah pasar popular berdekatan muzium Raqqa dan kawasan industri, di mana dua letupan kuat tercetus menyebabkan ramai mangsa terbunuh di situ.
“Kebanyakan serangan itu dilancarkan di kedudukan timur bandar tersebut dan 36 orang awam disahkan terbunuh, tetapi selebihnya tidak pasti sama ada mereka merupakan militan IS.
“Selepas serangan pertama, penduduk mula keluar untuk membantu mangsa yang cedera, tetapi serangan seterusnya menyebabkan lebih banyak kematian dan kecederaan,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan berkata, angka kematian dipercayai lebih tinggi termasuk melibatkan kanak-kanak.
Aktivis tempatan, Abu Ibrahim al-Raqqawi berkata, serangan itu merupakan kekejaman terburuk di Raqqa yang dilakukan oleh tentera kerajaan yang dipimpin Presiden, Bashar al-Assad.
Militan IS menguasai Raqqa pada Ogos lalu selepas mengusir tentera Syria dan merampas sebuah lapangan terbang serta membunuh berpuluh-puluh askar.
Sejak itu, tentera Syria memperhebatkan serangan udara di seluruh negara terutamanya di Raqqa bagi melemahkan penguasaan militan IS selepas tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) turut memerangi musuh yang sama. – REUTERS/AP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/serangan-udara-di-raqqa-lebih-95-orang-maut-1.29567#sthash.XoczD4sV.dpuf

Wednesday 26 November 2014

Rejim Syria Serang IS, 63 Terbunuh


Diterbitkan: Rabu, 26 November 2014 2:58 PM

BEIRUT: Seramai 63 terbunuh di Raqa apabila tentera Syria melakukan dua serangan udara berturut-turut di kawasan yang dikawal oleh kumpulan militan Negara Islam (IS).
Dalam serangan oleh tentera rejim Bashar al-Assad itu, seramai 36 daripada 63 mangsa merupakan orang awam manakala selebihnya gagal dikenalpasti.

"Dikalangan 63 yang terbunuh dalam serangan itu, seramai 36 merupakan orang awam.
"Selain itu ramai juga yang cedera dalam serangan berturut-turut paling teruk oleh tentera Syria sejak setahun lalu.
"Serangan pertama dilakukan terhadap kawasan penempatan awam dan apabila usaha menyelamat sedang dilakukan, serangan kedua dibuat," jelas wakil Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman.

Dalam pada itu, kumpulan aktivis turut mengedarkan video serangan yang dianggap kejam itu.
Dalam rakaman tersebut kelihatan cebisan daging manusia dan kumpulan orang awam yang mengalami kecederaan.

12.2 juta rakyat Syria perlukan bantuan kemanusiaan - PBB

NEW YORK: Dianggarkan 12.2 juta rakyat Syria memerlukan bantuan kemanusiaan berikutan meningkatnya keganasan dan keadaan tidak menentu di negara itu.
Jumlah itu meningkat lebih tinggi berbanding 10.8 juta pada Julai lalu, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Valerie Amos, memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa penyaluran bantuan dari Turki dan Jordan ke kawasan dikuasai pemberontak di Syria tanpa kelulusan kerajaan berjaya membantu menangani masalah itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Keselamatan agar melanjutkan program agihan bantuan menerusi sempadan yang tamat pada 9 Januari depan.
Amos memberi gambaran betapa buruknya keadaan di Syria - 40 peratus penyusutan ekonomi sejak 2011, satu pertiga penduduk hidup dalam kemiskinan, 50 peratus penurunan kehadiran ke sekolah, 7.6 juta pelarian dalam negara dan 3.2 juta pelarian di negara asing.
Beliau berkata, sejak wujudnya resolusi membenarkan bantuan dibawa menyeberangi sempadan, pasukan bantuan PBB berjaya memasuki empat kawasan sukar iaitu Aleppo, Idlib, Daraa, dan Quneitra. - AP

Pelarian Syria di Greece mogok lapar


Pelarian Syria di Greece menuntut kerajaan mencari penyelesaian untuk mereka.
Pelarian Syria di Greece menuntut kerajaan mencari penyelesaian untuk mereka. 
26 November 2014


ATHENS - GREECE . Lebih 200 pelarian Syria di Greece melancarkan mogok lapar di ibu negara Athens, semalam.

Protes yang dimulakan di hadapan bangunan Parlimen Greece sejak 19 November lalu, bertujuan menggesa kerajaan memberi mereka pekerjaan dan hak bermastautin sementara.

Difahamkan, beberapa penunjuk perasaan bertindak duduk di kaki lima dan menutup mulut mereka dengan pita pelekat.

Greece merupakan pintu masuk pelarian yang ingin ke Kesatuan Eropah dan negara terbabit menyaksikan peningkatan dalam bilangan pelarian Syria berikutan ramai yang menyeberangi dengan bot dari Turki, dipetik dari laporan Press TV.

Tuesday 25 November 2014

Lebih 900 terkorban dalam serangan udara AS


Penduduk menyelamatkan seorang mangsa daripada sisa runtuhan bangunan yang dibedil dalam serangan udara diketuai AS.
Penduduk menyelamatkan seorang mangsa daripada sisa runtuhan bangunan yang dibedil dalam serangan udara diketuai AS.
DAMSYIK - SYRIA. Sebuah badan pemerhati yang berpangkalan di Britain mendakwa serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria telah mengorbankan 910 nyawa.

Serangan yang dimulakan sejak dua bulan lalu itu turut meragut nyawa 52 orang awam.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Syria, daripada jumlah orang awam yang maut, lapan adalah kanak-kanak dan wanita.

Badan pemerhati itu turut mengesahkan 72 anggota Barisan al-Nusra turut terkorban dalam serangan pada 23 September lalu.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 200,000 penduduk maut dalam konflik yang telah berlarutan selama empat tahun di Syria.

Dalam perkembangan berkaitan, IS dilaporkan telah menculik 70 penduduk kampung di wilayah Nineveh di utara Iraq.

Menurut saksi, laporan dipetik dari Al-Arabiya, anggota IS menyerang hendap kenderaan dan merampas senjata mangsa.

Status penggunaan senjata kimia di Syria, Israel


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: "Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan tahniah kepada Mohd Nasrudin Mohd Yusof, rakyat Malaysia pertama yang telah menerima anugerah Nobel Keamanan 2013 atas pencapaian perkhidmatannya dalam memastikan negara anggota mematuhi Konvensyen Senjata Kimia," kata Nasrudin Hassan.
Ahli Parlimen Temerloh itu menyatakan demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau merujuk kepada Butiran 110100 - Pihak Berkuasa Kebangsaan Kepada Konvensyen Senjata Kimia.
"Berhubung dengan butiran ini, kita dimaklumkan bahawa penggunaan senjata kimia di Syria didakwa didalangi oleh regim pemerintahan yang kejam sehinggakan pihak PBB dan Pertubuhan Bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) menjalankan misi memusnahkan senjata kimia tersebut," ujarnya.
Menurutnya, pemusnahan senjata kimia memerlukan kepakaran teknikaliti yang cukup tinggi kerana tidak semua negara mahupun syarikat swasta berupaya untuk memusnahkan senjata kimia tersebut.
Justeru, berdasarkan kepada peruntukan Bajet 2015 di bawah butiran itu, beliau bertanya bolehkah mendapatkan penjelasan mengenai status penggunaan senjata kimia di seluruh dunia sama ada di Syria, Amerika Syarikat dan sekutunya Israel memandangkan perwakilan negara kita telah didedahkan dengan pelbagai latihan serta pemeriksaan di peringkat antarabangsa.
Beliau juga ingin mendengar penjelasan daripada kerajaan sekiranya Malaysia terlibat dalam aktiviti eksport import bahan kimia dwifungsi yang disenaraikan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.
"Jika ada, siapakah rakan niaga tersebut, syarikat yang mengendalikan serta jumlah dagangannya," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 25/11/2014

Kurdis mara di Kobane


Beirut: Pejuang Kurdis berjaya mengukuh kedudukan mereka di Kobane selepas pertempuran sengit, semalam.
Pengarah Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) Rami Abdel Rahman berkata, pejuang Kurdis dari Unit Perlindungan Rakyat (YPG) semakin mara di kawasan timur dan barat laut bandar itu.
“Sekurang-kurangnya 18 militan Negara Islam (IS) dan beberapa pejuang Kurdis terbunuh dalam pertempuran itu,” katanya.
Menurutnya, kawalan terhadap bandar itu masih sekata antara Kurdis dengan IS yang mula menyerang Kobane lebih tiga bulan lalu.
Kobane yang sebelum ini nyaris dikuasai IS berjaya dipertahankan pejuang Kurdis dengan bantuan serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) serta tenaga bantuan pejuang Kurdis Iraq.
Selain itu, lima serangan udara dilaksanakan sepanjang malam tadi namun SOHR belum menerima maklumat mengenainya.
Sementara itu, pejuang pemberontak termasuk yang setia kepada al-Qaeda memperkuatkan serangan terhadap sebuah perkampungan Syiah yang cuba ditawannya sejak 18 bulan lalu.
“Penduduk melarikan diri ke tengah kampung itu, Zahraa, untuk mengelak serangan yang dilakukan di tenggara,” katanya.
Menurut Rami, sekurang-kurangnya lapan pemberontak dan seorang awam terbunuh dalam pertempuran di situ. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:01 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/11436#sthash.PbJFT50X.dpuf

Monday 24 November 2014

Gadis British Lari Rumah Untuk Sertai Kurdis Serang IS


Diterbitkan: Isnin, 24 November 2014 4:59 PM

SEORANG remaja perempuan dari London dilaporkan bertindak nekad untuk menyertai tentera Kurdis bagi menentang kumpulan Negara Islam, (IS) di Syria.
Gadis berketurunan Kurdis berusia 17 tahun itu dilapor telah meninggalkan rumahnya pada minggu lalu dengan menaiki kereta api laju ke Belgium sebelum ke Syria.
Remaja terbabit juga dikatakan berharap dia akan diserap ke dalam unit pertahanan wanita Kurdis, yang membolehkan dia mengangkat senjata dan menyerang IS.
Gadis terbabit merupakan warga British ketiga yang menyertai tentera Kurdis secara sukarela selepas dua lelaki.
Sebelum ini, tentera veteran yang menyertai perang di Afghanistan iaitu, James Hughes dan Jamie Read turut ke Syria untuk membantu tentera Kurdis menentang IS.

Lebih 900 terkorban dalam serangan udara AS


Penduduk menyelamatkan seorang mangsa daripada sisa runtuhan bangunan yang dibedil dalam serangan udara diketuai AS.
Penduduk menyelamatkan seorang mangsa daripada sisa runtuhan bangunan yang dibedil dalam serangan udara diketuai AS. 
24 November 2014


DAMSYIK - SYRIA. Sebuah badan pemerhati yang berpangkalan di Britain mendakwa serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria telah mengorbankan 910 nyawa.

Serangan yang dimulakan sejak dua bulan lalu itu turut meragut nyawa 52 orang awam.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Syria, daripada jumlah orang awam yang maut, lapan adalah kanak-kanak dan wanita.

Badan pemerhati itu turut mengesahkan 72 anggota Barisan al-Nusra turut terkorban dalam serangan pada 23 September lalu.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 200,000 penduduk maut dalam konflik yang telah berlarutan selama empat tahun di Syria.

Dalam perkembangan berkaitan, IS dilaporkan telah menculik 70 penduduk kampung di wilayah Nineveh di utara Iraq.

Menurut saksi, laporan dipetik dari Al-Arabiya, anggota IS menyerang hendap kenderaan dan merampas senjata mangsa.

60 militan Jerman terbunuh di Iraq, Syria


24 November 2014
BERLIN - Sekurang-kurangnya 60 warga Jerman yang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) terbunuh di Iraq dan Syria, menurut Pejabat Persekutuan bagi Perlindungan Perlembagaan.

Presidennya, Hans-Georg Maasen turut memberi amaran bahawa Jerman berdepan kemungkinan serangan pengganas oleh militan yang kembali daripada kedua-dua negara tersebut.

"Kita perlu bersedia berdepan sebarang kemungkinan. Ancaman dan serangan yang berlaku di negara Timur Tengah boleh berlaku di sini," katanya kepada akhbar Welt am Sonntag, semalam.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Thomas de Maiziere memaklumkan sekurang-kurangnya 550 warga Jerman meninggalkan negara itu pada 20 November  lau untuk menyertai IS.

Katanya lagi, pihak keselamatan turut memantau 230 individu lain yang dilihat mampu mengancam keselamatan negara, laporan dipetik dari Press TV.

Friday 21 November 2014

Bashar lancar 1,592 serangan ke atas penentang


REUTERS - SEORANG kanak-kanak menunggu untuk dirawat di sebuah hospital selepas cedera terkena bom yang dijatuhkan oleh tentera Syria di Meraba, timur Daraa kelmarin.


BEIRUT – Tentera yang setia kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad telah melancarkan 1,592 serangan sejak beberapa bulan lalu terhadap kumpulan penentang menyebabkan sekitar 396 penduduk tempatan terbunuh, lapor kumpulan Pemantauan Hak Asasi Manusia Syria kelmarin.
Menurut kumpulan yang berpangkalan di Britain itu, mereka memperoleh maklumat bahawa sekurang-kurangnya 1,500 orang cedera dalam serangan itu yang dilakukan menggunakan pesawat udara dan helikopter.
Pesawat berkenaan menjatuhkan bom barel yang mengandungi serpihan besi terpakai dan letupan.
“Serangan udara sejak 20 Oktober lalu ditujukan di kawasan-kawasan seperti di wilayah Hama, Deraa, Idlib, Aleppo dan Quneitra serta beberapa kawasan di luar Damsyik.
“Mereka turut menyerang timur wilayah Deir al-Zor province di mana di kawasan itu tentera pakatan yang diketuai Amerika Syarikat sedang melakukan serangan bom melalui udara ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS),” kata kumpulan itu.
Kerajaan Syria pimpinan Bashar didakwa meningkatkan serangan sejak tentera pakatan mula melancarkan serangan ke atas kedudukan IS di Syria pada September lalu.
Penganalisis berkata, peningkatan serangan oleh Syria itu berkemungkinan kerana kerajaan Bashar mahu melumpuhkan kumpulan penentang sebelum mereka mendapat latihan dan persenjataan daripada AS. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3JeFwbRS5 
Hakcipta terpelihara 

Monday 17 November 2014

Bapa di London percaya anaknya terbabit pancung askar Syria

ISNIN, 17 NOVEMBER 2014 @ 5:43 PM

 
LONDON: Seorang bapa, Ahmed Muthana berkata beliau percaya anak lelakinya, pelajar perubatan di Britain antara anggota skuad jihad Negara Islam (IS) yang dilihatnya di dalam video memancung askar Syria dan tebusan rakyat Amerika Syarikat semalam.

Ahmed memberitahu akhbar 'Daily Mail' bahawa anak lelakinya, Nasser Muthana yang berusia 20 tahun kelihatan berada bersama sekumpulan 16 anggota jihad yang memancung kepala Peter Kassig.

"Saya tidak pasti tapi ia kelihatan seperti anak lelaki saya," katanya yang tinggal di Cardiff, Wales.

"Dia seharusnya sekarang takut dengan Allah kerana melakukan pembunuhan. Bagaimana dia akan hadapi Allah jika membunuh manusia?" katanya.

Kenyataan IS mengenai pembunuhan Kassig iaitu tebusan Barat kelima adalah sebahagian daripada video selama 15 minit yang dimuat naik, menunjukkan tindakan militan IS memancung sekurang-kurangnya 14 orang yang didakwanya sebagai juruterbang dan pegawai yang setia dengan Presiden Bashar al-Assad.

IS sebelum ini mengeluarkan video bagi menunjukkan dua rakyat Amerika dan dua rakyat Britain dipancung oleh militan berpakaian hitam dan menutup muka yang bercakap dengan loghat Inggeris dan digelar oleh media di Britain sebagai 'Jihadi John'.

Video semalam bagaimanapun menunjukkan sebahagian besar pembunuh itu tidak menutup muka dan menurut 'Daily Mail, Nasser Muthana berdiri di sebelah Jihadi John. - Reuters

Friday 14 November 2014

Singkir Bashar untuk tewaskan IS


BASHAR


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mahu para penasihatnya mengkaji semula dasar Washington terhadap Syria selepas mendapati mustahil untuk menewaskan kumpulan militan Negara Islam (IS) tanpa menyingkirkan presiden negara itu, Bashar al-Assad, lapor agensi berita CNN semalam.
CNN yang memetik pegawai kanan AS berkata, pasukan keselamatan kebangsaan AS mengadakan empat mesyuarat pada minggu lalu bagi membincangkan strategi yang sesuai bagi menentang IS yang kini menguasai sebahagian besar Syria dan Iraq.
“Obama meminta kami supaya mengkaji semula strategi yang sesuai untuk menewaskan IS di kedua-dua negara tersebut.
“Secara realitinya, untuk kami benar-benar menewaskan IS, kami bukan sahaja mesti menewaskan kumpulan militan itu di Iraq tetapi juga di Syria,” kata pegawai berkenaan.
Sementara itu, seorang pegawai Majlis Keselamatan Kebangsaan memberitahu Reuters, strategi berkenaan akan menghormati pentadbiran Syria.
Katanya, dalam mesyuarat itu Obama menekankan bahawa Bashar sudah hilang kelayakan untuk mentadbir Syria.
“Kami bekerjasama dengan negara-negara sekutu bagi menguatkan pengaruh kumpulan pembangkang sederhana di Syria sebagai salah satu usaha untuk menyingkirkan Bashar,” ujarnya.
Tambahnya, pasukan itu juga sedang mempertimbang cara terbaik bagi melaksanakan strategi yang dirangka Obama untuk menentang IS di Iraq dan Syria melalui beberapa usaha secara ketenteraan dan berbentuk tanpa ketenteraan.
“Fokus utama ketika ini ialah mengusir militan IS dari Iraq dan kami serta negara sekutu juga akan meneruskan serangan udara terhadap kumpulan itu di Syria bagi menghalang mereka menguasai lebih banyak kawasan,” katanya. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3J0pjNuts 
Hakcipta terpelihara 

Tak mampu tampung pelarian


Oslo: Negara jiran Syria - Lubnan Turki, Jordan dan Iraq - bertindak mengurangkan secara drastik kemasukan penduduk Syria ke negara mereka kerana tidak mampu lagi untuk menampung kemasukan lebih ramai pelarian negara itu.

Jumlah pelarian yang meninggalkan Syria kerana menyelamatkan diri dari perang saudara merosot kepada 88 peratus pada Oktober berbanding purata bulanan pada 2013, kepada 18,453 daripada 150,000 orang, kata Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa dan Majlis Pelarian Norway.

“Pertubuhan kemanusiaan sudah berulang kali memberi amaran bahawa kemampuan negara jiran berkenaan sudah menjangkau keupayaan mereka,” kata Setiausaha Agung Majlis Pelarian Norway, Jan Egeland.

Lebanon, Turki dan Jordan sudah menerima kemasukan lebih tiga juta pelarian Syria sejak konflik bermula pada 2011 sementara negara di luar rantau itu bersetuju menerima kira-kira 50,000 penduduk Syria, kurang dua peratus daripada jumlah keseluruhan pelarian.

Bulan lalu, Lubnan, antara negara paling ramai pelarian di dunia berkata, ia sudah tidak lagi berupaya menangani lebih sejuta penduduk Syria dan meminta bantuan untuk membantu menguruskan mereka.

Rasa tidak puas hati terhadap pelarian itu juga meningkat di negara terbabit kerana mereka didakwa menjadi punca kepada kekurangan pekerjaan, gaji lebih rendah, kesesakan di sekolah dan hospital dan paling teruk, pelarian itu juga dituduh menyebabkan kekurangan bekalan tenaga elektrik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:04 AM

KANAK-KANAK pelarian Syria di kem Suruk, Turki.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8918#sthash.db6x4mfg.dpuf

Thursday 13 November 2014

Video hero muda di Syria terus viral


Kanak-kanak lelaki ini sanggup bergadai nyawa meskipun bertubi-tubi tembakan dilepaskan.
Kanak-kanak lelaki ini sanggup bergadai nyawa meskipun bertubi-tubi tembakan dilepaskan.
DAMSYIK - SYRIA. Sebuah video menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki di Syria yang sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan kanak-kanak perempuan daripada tembakan penyerang hendap kini semakin viral di laman sosial.

Rakaman yang dimuat naik di laman video Youtube pada 10 November lalu memaparkan kanak-kanak lelaki itu berusaha mencapai tangan kanak-kanak perempuan yang berlindung di sebalik sebuah kereta yang telah musnah.

Usahanya berjaya apabila dia berjaya menarik tangan kanak-kanak itu dan membawanya ke tempat lebih selamat walaupun tembakan berterusan dilepaskan ke arahnya.

Monday 10 November 2014

Tentera Syria lancar serangan ke atas bandar Al-Bab

Asap tebal dapat dilihat di bandar Kobane selepas tentera pakatan
Asap tebal dapat dilihat di bandar Kobane selepas tentera pakatan diketuai Amerika mengebom bandar yang bersempadan dengan Syria-Turki itu, kelmarin. – AFP
DAMSYIK 9 Nov. – Tentera Syria melancarkan serangan udara ke atas bandar yang dikuasai kumpulan militan Negara Islam (IS) di timur laut negara itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 21 orang awam terbunuh dan 10 yang lain cedera.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria dalam kenyataannya, hari ini berkata, pesawat tentera udara Syria menggugurkan tujuh butir bom barel ke atas bandar Al-Bab, bandar di timur laut Aleppo, malam tadi.
Bom barel yang diperbuat daripada tong minyak, silinder gas atau tangki air yang padat dengan bahan letupan dan besi buruk kerap digunakan tentera Syria dalam perang saudara di negara itu hingga mendapat kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia kerana menyebabkan banyak orang awam terbunuh.
Dalam perkembangan lain di Baghdad, Amerika Syarikat (AS) dan tentera bersekutu menjadikan perhimpunan yang dihadiri pemimpin-pemimpin kumpulan IS di Iraq sebagai sasaran serangan udara ke atas sebuah bandar yang bersempadan antara Iraq dan Syria.
Menurut laporan stesen televisyen Al-Hadath semalam, komander tertinggi IS, Abu Bakr al-Baghdadi turut hadir dalam perhimpunan itu, namun pegawai keselamatan Iraq dan AS tidak dapat mengulas lanjut berhubung laporan tersebut.
Bagaimanapun menurut dua saksi yang memberitahu agensi berita Reuters bahawa serangan udara itu menjadikan sebuah kediaman pemimpin kanan IS yang menjadi lokasi pertemuan itu di bandar al-Qaim yang bersempadan dengan Iraq sebagai sasaran.
Menurut saksi itu, IS telah mengosongkan sebuah hospital bagi membolehkan anggota mereka yang cedera dirawat di premis itu dan menggesa penduduk menderma darah.
Menurut penduduk, terdapat laporan yang tidak dapat disahkan bahawa pemimpin tempatan IS di wilayah Anbar, barat Iraq dan timbalannya terbunuh dalam serangan itu. – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tentera-syria-lancar-serangan-ke-atas-bandar-al-bab-1.22819#sthash.xJ2MfoIw.dpuf



Saturday 8 November 2014

Serangan udara AS bunuh orang awam


Kepulan asap kelihatan di sebuah bangunan di bandar Kobane yang menjadi markas kumpulan IS di Syria.
Kepulan asap kelihatan di sebuah bangunan di bandar Kobane yang menjadi markas kumpulan IS di Syria.
DAMSYIK - SYRIA. Kumpulan militan yang menentang tentera kerajaan di Syria mendakwa serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) di sempadan Turki telah membunuh penduduk awam termasuk kanak-kanak.

Kumpulan penentang Syria, Ahrar al-Sham dalam satu kenyataan berkata, serangan lewat malam itu turut memusnahkan salah satu pangkalannya di kawasan tersebut.

Memetik laporan Press TV, serangan turut disasarkan ke atas Barisan al-Nusra selepas kumpulan itu menumpaskan pejuang barisan Revolusi Syria yang disokong negara Barat di wilayah Idlib, barat laut Syria.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera Iraq dilaporkan menyerang kedudukan Kumpulan Negara Islam (IS) di Anbar dan Salahuddin yang terletak di utara Baghdad.

Menurut jurucakap tentera, serangan tersebut mengakibatkan beberapa anggota IS terbunuh dan berundur dari kawasan yang kaya dengan sumber minyak itu.

Beribu-ribu kematian Ebola tidak dilaporkan


REUTERS - PETUGAS perubatan memakai sut perlindungan bertugas di sebuah fasiliti kesihatan dekat sempadan Liberia-Sierra Leone .


NEW YORK – Wabak demam Ebola yang terus mengganas dipercayai membunuh lebih ramai mangsa berbanding 4,818 kematian yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata seorang pakar agensi itu.
Ketua Strategi WHO, Christopher Dye berkata, beribu-ribu kematian akibat virus maut itu tidak direkodkan.
“Banyak kematian melibatkan Ebola yang tidak dilaporkan,” kata Dye kelmarin sambil menambah, kira-kira 5,000 kematian akibat virus itu dipercayai gagal dicatat oleh WHO.
Anggaran tersebut katanya, dibuat berdasarkan purata kematian 70 peratus pesakit Ebola di kawasan paling teruk dilanda wabak itu di Guinea, Liberia dan Sierra Leone.
Menurutnya, bilangan kes Ebola dilaporkan setakat ini yang mencecah 13,042 orang menunjukkan terdapat banyak kematian yang tidak dilaporkan.
“Situasi ini berlaku kerana ramai orang mengebumikan mayat pesakit Ebola secara rahsia kerana tidak mahu pihak berkuasa campur tangan dalam upacara pengebumian seperti memandikan dan menyentuh mayat yang menjadi punca wabak ini menular dengan pantas,” jelas Dye.
Dalam pada itu, data terbaharu WHO mengenai angka kematian dan jangkitan Ebola menyebabkan kekeliruan kerana ia menunjukkan penurunan.
Angka yang disiarkan WHO Rabu lepas menunjukkan terdapat 4,818 kematian, turun daripada 4,951 berbanding laporan pada 31 Oktober lalu, manakala jumlah jangkitan Ebola pula seramai 13,042 orang, merosot daripada 13,567 sepanjang tempoh sama.
Kata, Dye keadaan itu berlaku ekoran WHO menggunakan pangkalan data yang berbeza bagi mengira purata jangkitan dan kematian akibat wabak itu.
“Apa yang jelas, ramai orang terus meninggal dunia akibat epidemik Ebola,” ujarnya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3IQYrAEaa 
Hakcipta terpelihara 

Warga Perancis pakar bom al-Qaeda di Syria terbunuh




WASHINGTON – Serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Syria yang disasarkan terhadap beberapa militan al-Qaeda dipercayai membunuh pakar bom utama kumpulan pengganas tersebut, kata dua pegawai kanan AS kelmarin.
Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan sama ada pakar bom warga Perancis itu, David Drugeon terbunuh atau cedera tetapi kedua-dua pegawai berkenaan berkata, serangan udara itu mengenai sasaran dekat Sarmada, barat daya Syria.
Komander AS yang mengetuai operasi tentera di Asia Barat, Jeneral Lloyd Austin berkata, beliau tidak akan membincangkan keputusan serangan udara itu sehingga pihak tentera mendapat maklumat terperinci mengenainya.
Beliau bagaimanapun memberitahu, serangan itu dipercayai mengenai Drugeon atau sekurang-kurangnya militan tersebut merupakan sasaran operasi AS itu.
“Dia merupakan antara pemimpin kumpulan itu (Barisan al-Nusra) dan juga antara elemen paling bahaya,” kata Austin.
Seorang lagi pegawai AS berkata, skil membuat bom Drugeon setara dengan anggota al-Qaeda di Yemen, Ibrahim al-Asiri yang membina tiga bom bukan logam dan diseludup ke dalam beberapa penerbangan menuju ke AS.
Namun, semua bom itu tidak diletupkan.
Drugeon yang memeluk Islam dipercayai berumur 24 tahun dan pernah berperang di Afghanistan dan Pakistan selama tiga tahun sebelum ke Syria pada akhir 2012 atau awal 2014. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3IQYiDEC2 
Hakcipta terpelihara 

Friday 7 November 2014

Turki tuduh kerajaan Syria lakukan pembunuhan beramai-ramai di Aleppo


TENTERA FSA bersiap sedia dengan senjata buatan sendiri bagi menangkis serangan tentera yang setia kepada Bashar di Aleppo, Syria kelmarin.


ISTANBUL – Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu menuduh tentera Syria melakukan pembunuhan beramai-ramai di Aleppo dan kawasan sekitarnya dan menyatakan, Turki bakal berdepan krisis pelarian besar-besaran jika bandar kedua terbesar di Syria itu jatuh ke tangan mereka.
Ketika jet perang Amerika Syarikat (AS) mengebom kedudukan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria, tentera Presiden Bashar Al-Assad meningkatkan kempen memerangi kumpulan penentang Syria di barat dan utara termasuk di Aleppo dan kawasan sekitarnya.
Ankara sebelum ini mendesak pakatan yang diketuai AS supaya meluaskan kempen dengan memerangi Bashar dan IS dengan alasan Syria tidak akan aman selagi Bashar berkuasa.
“Kami bimbang dengan perkembangan di Aleppo. Walaupun bandar itu belum tewas, tetapi berada dalam tekanan yang amat berat,” kata Davutoglu lewat Selasa lalu selepas menemui beberapa jeneral kanan Turki.
Aleppo kini terbahagi kepada dua dengan tentera Bashar menguasai barat bandar itu dan kumpulan pemisah menduduki bahagian timurnya. Tentera Bashar kini semakin mengepung kedudukan kumpulan pemisah dan cuba menyekat laluan bekalan.
Menurut Davutoglu, tentera Bashar melakukan pembunuhan beramai-ramai menggunakan bom barel di timur laut dan barat Aleppo yang dikuasai kumpulan pemisah Tentera Pembebasan Syria (FSA).
“Sekiranya Aleppo jatuh, kami di Turki akan berdepan krisis pelarian besar-besaran dan serius,” katanya.
Turki sehingga kini menerima 1.5 juta pelarian berikutan perang saudara di Syria dan mendesak AS serta sekutunya mewujudkan kawasan selatan untuk pelarian di wilayah Syria. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3IKnaHg7j 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday 5 November 2014

Pelarian Kobani hidup melarat


Puluhan ribu pelarian di Suruc terpaksa tinggal di dalam khemah tanpa dilengkapi kemudahan asas yang cukup.
Puluhan ribu pelarian di Suruc terpaksa tinggal di dalam khemah tanpa dilengkapi kemudahan asas yang cukup.
SURUC - TURKI. Sebuah organisasi doktor antarabangsa memberi amaran bahawa pelarian Kobani yang melarikan diri ke Turki kini terpaksa hidup dalam keadaan menyayat hati.

Dr Ioannis Mouzalas berkata, 90,000 daripada pelarian Kurdish ditempatkan di Suruc manakala lebih 100,000 terpaksa mencari perlindungan di beberapa wilayah lain.

"Puluhan ribu pelarian termasuk kanak-kanak di Suruc hanya tinggal di dalam khemah dan rumah terbiar," katanya.

Menurutnya lagi, laporan dipetik dari Press TV, tiada kemudahan ambulans disediakan di Kobani dan mereka yang cedera akibat konflik di bandar itu terpaksa berjalan kaki ke sempadan sebelum dihantar ke hospital di Suruc.

Jemaah haji enggan pulang


Jeddah: Sekumpulan warga Syria yang menunaikan haji baru-baru ini enggan pulang ke negara mereka dengan alasan nyawa mereka terancam kerana kekacauan politik. Mereka sebaliknya memohon suaka politik di Arab Saudi.

Kira-kira 1,200 jemaah itu berada di pejabat Kementerian Haji di Makkah, memohon supaya dibenarkan tinggal di negara dengan diberi status pelarian.

Bagaimanapun, pegawai kementerian berkata, isu itu di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri.

Kira-kira 12,000 rakyat Syria menunaikan haji tahun ini dengan separuh daripada mereka datang dari Syria dan separuh lagi dari negara jiran, termasuk Turki, Lubnan, Jordan dan Mesir, tempat mereka tinggal sebagai pelarian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:02 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6557#sthash.J3hz23Xk.dpuf

Sunday 2 November 2014

syria berdarah

SYRIA BERDARAH



Statistik yang dikeluarkan oleh aktivis kemanusiaan menunjukkan, seorang kanak-kanak menjadi korban setiap 2 jam akibat peperangan di Syria. Jumlah kematian kanak-kanak adalah melebihi angka 15,000 semenjak terjadinya revolusi yang memasuki tahun ke empat.

Hentikan kekejaman Assad! Beliau menghantar bom untuk membunuh, kita hantarkan doa supaya kezaliman ini terhenti!
 

TIMUR GHOUTAH



Tangisan kesakitannya sangat perlahan sehingga dunia tidak mendengar bahawa kanak-kanak di Syria dibunuh setiap hari. Semalam adalah tangisan terakhirnya. Dia tidak akan menangis lagi sebaliknya gembira kembali kepada RabbNya... InsyaAllah

MUSIM SEJUK DI SYRIA



Berjuta-juta rakyat Syria akan berjuang untuk terus hidup. Musim sejuk akan kembali. Kirimkanlah doa dan bantuan.

Hampir 4 tahun rejim Bashar Assad membunuh dan mencederakan kanak-kanak Syria. Dunia masih diam!

JANGAN BIARKAN KESEJUKAN MEMBUNUH MEREKA!




Musim sejuk yang menggigit bakal tiba tidak lama lagi di Syria. Pihak Syria Care mensasarkan untuk membiayai lebih 5,000 keluarga di daerah Timur Ghoutah, Damsyik bagi membantu mereka mengharungi musim sejuk yang membunuh. Daerah ini adalah kawasan sama yang diserang dengan senjata kimia pada 21.8.13 yang lalu, yang mengakibatkan hampir 1,500 kematian.

Sebelum peperangan berlaku penduduk di kawasan ini berjumlah 2,200,000 orang. Sekarang hanya tinggal lebih kurang 1,000,000 orang sahaja.

Projek yang Syria Care usahakan ini antaranya adalah membekalkan keperluan kepada 5,000 keluarga sepanjang mengharungi 3 bulan musim sejuk. Projek ini mampu menampung keperluan bagi 25,000 orang, InsyaAllah.

Di antara keperluan yang ingin dibeli adalah seperti berikut.

1. 3,600,000 kg - Kayu api
2. 75,000 helai - Pakaian dalaman untuk musim sejuk
3. 25,000 pasang - Kasut
4. 5,000 biji - Alat Pemanas Api
5. 25,000 buah - Tilam
6. 25,000 biji - Bantal
7. 25,000 helai - Selimut

Kos keseluruhan projek adalah sebanyak RM15,750,000.
Mohon sokongan semua bagi menjayakan projek ini.
Jangan biarkan kesejukan membunuh mereka!

Tarikh tutup 31 Jan 2015
Bagi yang menderma sila maklumkan kepada pihak Syria Care samada melalui emel atau Whatsapp untuk tujuan memudahkan kemaskini.

Emel ke: souricare@gmail.com __________________________________

Bersama sertai NGO Syria Care dalam usaha membantu umat Islam di Syria!

AKAUN CIMB BANK ( Syria Care)
No. Akaun : 8601 89 4560
Swift Code : CIBBMYKL

Alamat Pejabat NGO Syria Care :
No. 43, Jalan Bola Jaring, 13/15, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor.

No. Tel : 011370 30900