Monday 23 March 2015

IS serang tentera Bashar


KERETA kebal milik tentera kerajaan Syria kelihatan mengawal kawasan pengeluaran minyak Jazel berdekatan bandar Palmyra di timur wilayah Homs baru-baru ini. - AFP


DAMSYIK – Lebih 100 orang terbunuh di Syria dalam tempoh 24 jam keganasan selepas anggota kumpulan Islamic State (IS) menyerang tentera kerajaan Syria.
Jumlah kematian itu termasuk sejumlah penduduk etnik Kurdis yang diserang pengebom berani mati IS ketika mereka meraikan sambutan tahun baharu.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, lebih 70 tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad terbunuh selepas IS menyerang pusat kawalan mereka di tengah wilayah Homs dan wilayah Hama.
“Kebanyakan tentera yang diserang terbunuh, manakala di Hama sahaja hampir 50 orang mati,” kata Pengarah kumpulan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman kepada AFP.
Dalam serangan tersebut, sejumlah anggota IS juga dilaporkan terbunuh.
Tentera rejim Bashar sebelum ini menguasai sebahagian besar kawasan di Homs dan Hama.
“IS sebelum ini menghadapi tentangan sengit oleh pejuang Kurdis di wilayah Aleppo dan Raqa serta di Hasakeh. Pada masa sama kumpulan itu berdepan de­ngan tentangan daripada tentera rejim.
“Kumpulan militan itu­ mungkin menyerang kedudukan tentera sebagai satu tindakan balas,” kata Rami.
Sementara itu dalam kejadian lain, pengebom berani mati IS melakukan serangan ke atas minoriti Kurdis yang sedang meraikan sambutan tahun baharu etnik itu yang dikenali sebagai Nowruz di Hasakeh, timur laut Syria menyebabkan 33 orang terbunuh.
“Sebanyak 33 orang terbunuh dalam serangan di Hasakeh termasuk lima kanak-kanak dan sebilangan besar terdiri daripada wanita,” kata Rami lagi.
Dalam kejadian itu, berpuluh-puluh orang lagi cedera dan berkemungkinan jumlah kematian me­ningkat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3VA9N67TR 
Hakcipta terpelihara