Persidangan yang disertai 20 buah negara dan beberapa pertubuhan antarabangsa itu diadakan bagi merangka pelan damai untuk menamatkan perang saudara di Syria yang sudah berlanjutan lebih empat tahun.
Diplomat berkata, peserta-peserta yang menghadiri persidangan yang akan membincangkan secara mendalam konflik di Syria, sudah siap sedia untuk membahaskan perkara itu.
Pegawai-pegawai barat turut menolak dokumen lapan cadangan yang dikemukakan Rusia, semalam untuk menamatkan konflik di Syria, yang dilihat berat sebelah kerana tidak menjelaskan secara terperinci tentang masa depan Bashar.
Diplomat-diplomat asing mula mempergiatkan usaha untuk menamatkan konflik di Syria selepas Rusia terlibat dalam siri serangan udara di negara itu sejak akhir September lalu.
Moscow berkata, serangan udara itu dilancarkan untuk menamatkan keganasan di Syria, namun barat menuduh mereka cuba membantu tentera Bashar dan memburukkan lagi keadaan antara kedua-dua belah pihak yang bertelagah.
Raja Jordan, Raja Abdullah II, semalam mengkritik `mentaliti perang dingin’ yang berlaku pada perbincangan sebelum itu melibatkan Rusia dan Barat, sambil berkata, Moscow merupakan kunci kepada permasalahan politik di Syria.
“Kerjasama di Syria membolehkan kita membina kejayaan, Kita perlu lakukannya bersama untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan,” jelasnya. – AFP