Friday 16 September 2016

AS dan Rusia sepakat teruskan gencatan senjata di Syria


16 SEPTEMBER 2016
AS dan Rusia sepakat teruskan gencatan senjata di Syria

AS dan Rusia sepakat teruskan gencatan senjata di Syria
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT.  Amerika Syarikat (AS) dan Rusia sebulat suara melanjutkan tempoh gencatan senjata selama 48 jam di seluruh Syria selepas Washington menggesa kesemua pihak supaya menjamin keselamatan konvoi bantuan kemanusiaan yang kini masih menunggu kebenaran pihak berkuasa di sempadan Turki.

“Keputusan itu dilakukan berikutan kadar keganasan menurun secara mendadak selepas tempoh bertenang dikuatkuasakan pada Isnin lalu,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Mark Toner dalam satu sidang media, kelmarin.

Persetujuan itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, John Kerry menghubungi rakan sejawatannya dari Rusia, Sergey Lavrov melalui panggilan telefon.

Difahamkan, matlamat utama perjanjian diusahakan Washington dan Moscow, Jumaat lalu itu adalah untuk mengurangkan keganasan selama tujuh hari berturut-turut sebelum menyelaras serangan ketenteraan ke atas kumpulan militan Daesh serta bekas sekutu al-Qaeda, Jabhat Fateh al-Sham.

Dalam perkembangan berkaitan, bantuan kemanusiaan dijangka tiba di Aleppo hari ini susulan pengunduran kumpulan pemberontak dan tentera Syria dari laluan Castello yang menghubungkan bandar terjejas itu, lapor Agensi.