Wednesday 14 May 2014

Kanak-kanak Syria dengan rutin harian mereka mencari sisa-sisa makanan jika ada yang boleh makan di sebalik timbunan sampah.


Di sebalik kesenangan kita di sini dalam mendapatkan makanan, 
dan mereka di sana.
Kanak-kanak Syria dengan rutin harian mereka mencari sisa-sisa makanan jika ada yang boleh makan di sebalik timbunan sampah. 

Sumbangan boleh disalurkan melalui:
Maybank
Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia
5621 0663 0487

Sebarang urusan boleh ke pejabat kami:
No. 38B, Jalan Bola Tampar 13/14, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Email: souriacare@gmail.com

‘Saya bukan anggota militan’

RAZIF ROSLI
 ‘Saya bukan anggota militan’
Satu lagi gambar Nor Azli (dua, kiri) ketika menyertai misi bantuan kemanusian di Syria yang digunakan untuk mengaitkannya dengan kumpulan militan.
14 Mei 2014
 IPOH – Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Nor Azli Musa nafi terlibat secara langsung dengan sebarang pertempuran di Syria atau menyertai kumpulan militan di negara bergolak itu.

Menurutnya, dakwaan bahawa beliau menyertai gerakan militan di Syria sama sekali tidak berasas dan dianggapnya berniat jahat.

“Kehadiran saya di Syria hanyalah untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan dan saya baru sampai di Malaysia, 4 Mei lalu selepas berada di sana selama seminggu. Ini misi ketiga yang saya sertai.

“Misi pertama adalah pada 26 Oktober tahun lepas dan sekali lagi saya ke Syria pada 5 Januari lalu melalui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), dan baru-baru ini saya bersama Muslim Care Malaysia,” katanya semalam ketika diminta mengulas mengenai beberapa keping gambarnya yang dikirimkan individu tidak dikenali kepada Sinar Harian.

Ungkapan ‘Pejuang tanahair, Ustaz Haji Norazli Musa @ Taliban yang berasal dari Perak di bumi Syria bersama pejuang-pejuang Islam di sana, demi Jihad!’ turut disertakan bersama gambar-gambar berkenaan.

Nor Azli berkata, tindakannya bergambar bersama penduduk di Syria tidak semestinya menggambarkan dirinya mempunyai kaitan dengan kumpulan militan.

"Di Syria, bukan hanya penduduknya mengangkat senjata, doktor yang merawat pesakit sendiri pun ada senjata. Jadi tidak hairanlah senjata sentiasa digalas di bahu mereka.

“Adakah dengan bergambar dengan doktor yang memegang senjata, mereka menuduh saya sudah menyertai gerakan militan di Syria? Saya sama seperti NGO yang menjalankan misi kemanusiaan di sana, itu sahaja,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa senapang dipegangnya dalam gambar yang tersebar dalam laman sosial bukan senjata sebenar tetapi merupakan pemetik api.

Malah katanya, gambar tersebut diambil di pekarangan Masjid Negeri di Ipoh, bukannya di Syria.

“Saya tak tahu mengapa ada pihak tertentu yang mahu mengaitkan gambar tersebut dengan gambar saya semasa misi di Syria. Mungkin mereka ini ada niat tertentu,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Nor Azli akan dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.

“Kita memang tidak mengetahui pemergian ahli kita ke sana (Syria) apatah lagi kita tidak berupaya untuk mengetahui setiap gerak kerja ahli kita termasuk misi kemanusiaan yang disertai Nor Azli.

“Bagaimanapun Pas sentiasa memastikan perjuangan ahlinya berasaskan perlembagaan parti serta mengikut lunas perundangan di negara ini,” katanya.