Wednesday 4 November 2015

Pemberontak Syria guna perisai manusia


Kurung wanita dalam sangkar elak serangan tentera kerajaan
04 November 2015 12:43 AM




DAMSYIK 3 Nov. - Beratus-ratus wanita daripada puak Alawiah di sini yang setia kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad, dikurung didalam sangkar dan kemudian diletakkan di beberapa tempat untuk dijadikan perisai manusia bagi mengelakkan serangan udara tentera kerajaan.
Portal Daily Mail melaporkan, kira-kira 500 penduduk lelaki dan wanita ditahan kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Islam dan dimasukkan ke dalam sangkar besi yang ditempatkan di atas trak dan pikap.
Penduduk tempatan melihat perbuatan kejam tersebut sebagai satu cara untuk menghentikan serangan udara, yang membawa makna Bashar menjadikan penyokongnya sendiri sebagai sasaran jika serangan diteruskan.
Sekurang-kurangnya 100 sangkar digunakan untuk mengurung tahanan di sekitar bandar Douma, wilayah Ehouta Timur.
Rakaman video trak membawa sangkar tersebut yang dimuat naik di laman web YouTube, jelas menunjukkan wanita-wanita di dalam sangkar tersebut kelihatan takut dan tidak bermaya.
Lelaki-lelaki yang berada di dalam sangkar itu juga merayu supaya mereka dibebaskan.
Namun, kumpulan penentang kerajaan itu tetap membawa sangkar-sangkar itu melalui jalan-jalan raya di mana berpuluh-puluh ba­ngunan musnah dalam serangan udara.
Seorang wanita, Mervat Ali dari Qardaha berkata, “Kami berharap pesawat perang Rusia tidak lagi menyerang orang awam.’’
Kumpulan aktivis, Medecines Sans Frontieres (MSF) mengesahkan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dan 500 orang lagi cedera dalam beberapa serangan udara di Douma, lima hari lalu.
Serangan di Douma menyaksikan 550 orang terbunuh ketika bedilan memuncak pada Ogos lalu.
Daripada jumlah itu, lebih 120 orang yang terbunuh merupakan kanak-kanak.
Badan hak asasi manusia, Human Right Watch mengkritik tindakan terbaharu penentang kerajaan itu dan mendakwa taktik itu turut digunakan di perkampungan Fue, utara negara ini pada bulan lepas.
Pengarah Asia Baratnya, Nadom Houry memberitahu akhbar The Times, pemberontak tidak boleh melindungi orang awam dengan membahayakan nyawa orang awam lain.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemberontak-syria-guna-perisai-manusia-1.154205#sthash.yQHL2NLj.dpuf