Friday 29 January 2016

Kerajaan Syria tidak layan permohonan hantar bantuan kemanusiaan




AFP - KENDERAAN yang lengkap dengan senjata api milik kumpulan pejuang Jaish al-Fatah kelihatan mengawasi konvoi bantuan Bulan Sabit Merah Arab Syria yang membawa bantuan ke bandar Fuaa dan Kafraya di wilayah Idlib, Syria pada 14 Januari lalu.

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat – Hampir 75 peratus daripada permohonan PBB untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Syria tidak dijawab oleh kerajaan Syria, kata ketua bantuan PBB kelmarin.
Dengan rundingan damai baharu bakal bermula beberapa hari lagi, PBB sedang mendesak kerajaan Syria menghentikan serangan yang menyebabkan ramai rakyat negara itu kebuluran sejak peperangan bermula lima tahun lalu.
Ketua bantuan PBB, Stephen O’Brien memaklumkan kepada Majlis Keselamatan pertubuhan itu bahawa akses ke kawasan yang sukar dicapai gagal dilaksanakan dan kerajaan Syria masih belum memberi kelulusan kepada kebanyakan rancangan konvoi bantuan.
“Kemampuan kami untuk sampai ke lokasi yang di­serang dan sukar dicapai masih terhalang disebabkan kadar kelulusan sangat rendah untuk konvoi bantuan oleh pihak berkuasa Syria.
“Hampir 75 peratus permohonan langsung tidak dijawab kerajaan Syria. Kelemahan sebegini langsung tidak boleh diterima untuk sebuah negara anggota PBB yang menandatangani Piagam PBB,” katanya.
Daripada 113 permohonan untuk menghantar bantuan yang dibuat tahun lalu, hanya 10 peratus sampai kepada penduduk awam.
Bulan ini, PBB meminta Damsyik meluluskan konvoi bantuan ke 46 kawasan yang diserang dan sukar dicapai tetapi kesemuanya masih belum diluluskan.
Kebimbangan antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan teruk di bandar-bandar yang diserang meningkat selepas pekerja bantuan tiba di Madaya bulan ini dan melapor­kan penduduknya hanya hidup dengan sup rebusan rumput. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3ya01rstv 
Hakcipta terpelihara 

7 rakyat Malaysia jadi pengebom berani mati

Ahmad Salman Abdul Rahim (kiri) ketika menyertai militan IS.

Ahmad Salman Abdul Rahim (kiri) ketika menyertai militan IS.
KUALA LUMPUR 28 Jan. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan seramai tujuh rakyat Malaysia dipercayai terlibat dalam serangan berani mati selepas menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS).
Ahmad Salman Abdul Rahim, 40, pemuda yang berasal dari Parit Buntar, Perak semalam adalah yang terbaharu dilaporkan terbunuh dalam serangan berkenaan.
Malah, daripada jumlah itu, pihak keselamatan negara merekodkan seramai 18 rakyat negara telah terbunuh sama ada ketika menyertai peperangan atau menjadi pengebom berani mati.
Kematian Ahmad Salman yang dikenali sebagai ‘Abu Suleiman’ itu dilaporkan Utusan Malaysia semalam selepas dia menyertai skuda Inghimas yang dipercayai satu kumpulan yang ditubuhkan untuk melakukan serangan nekad terhadap Lapa­ngan Tentera Udara Kuwayris di wilayah Allepo.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawang­an Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih tiada pengesahan tentang kematian terbaharu melibatkan Ahmad Salman.
“Kita tidak dapat mengesahkan tentang kematian atau serangan yang dilakukan individu warganegara Malaysia itu kerana kita tiada kaedah tertentu yang mengesahkan tragedi yang berlaku di negara asing itu.
“Namun kita sedang berusaha mencari maklumat tentang perkara itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan menyatakan, 18 rakyat negara telah terbunuh selepas menyertai konflik peperangan di negara bergolak dan masih ada sekurang-kurangnya 46 orang lagi yang masih hidup.
“Maklumat risikan mendapati seramai 72 rakyat negara ada di negara itu,” ujarnya.
Ditanya tentang Ahmad Salman itu, Ayob Khan memberitahu, individu itu sememangnya keluar dari negara untuk menyertai peperangan di Syria.
“Individu itu telah pergi ke Syria pada 31 Januari 2014 dan selepas keluar dari negara menaiki kereta api dari Malaysia ke Thailand. Dia kemudian terbang dari Myanmar ke Nepal, India dan Jordan seterusnya menyusup masuk melalui sempadan Jordan.
“Pada peringkat awal, dia menyertai kumpulan Ajnad Al-Syam untuk bersama Allahyarham Ustaz Mohd. Lofti Ariffin tetapi sejurus Mohd. Lofti meninggal dunia, risikan mendapati dia kemudian keluar dari kumpulan itu dan menyertai IS,” katanya.
Tambah Ayob Khan, sumber risikan juga mendapati, Ahmad Salman yang berkelulusan dari United Kingdom telah berkahwin dan mempunyai anak ketika sedang ‘berjuang’ di Syria.
“Dia telah menyertai satu skuad tempur khas iaitu skuad barisan hadapan yang dikenali sebagai Inghimas dan maut dalam pertempuran itu selepas menyerang satu kem Tentera Udara Kuwayris,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/7-rakyat-malaysia-jadi-pengebom-berani-mati-1.184621#sthash.5562n9OJ.dpuf

Syria abai permintaan PBB


NEW YORK 28 Jan. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyalahkan kerajaan Syria berhubung krisis kemanusiaan yang membelenggu negara bergolak itu selepas mendapati hampir 75 peratus permintaan antarabangsa untuk menyalurkan bekalan bantuan tidak diendahkan.
Utusan kemanusiaan PBB, Stephen O’Brien dalam laporannya kepada Majlis Keselamatan PBB, mendedahkan, misi untuk menghantar bantuan ke kawasan yang sukar dimasuki hampir mustahil dilakukan dan kerajaan Syria masih belum memberi kelulusan bagi meneruskan usaha tersebut.
Jelasnya, berdasarkan 113 permohonan untuk penghantaran bantuan pada tahun lalu, hanya 10 peratus sahaja berjaya dihantar kepada orang awam dan kira-kira 75 peratus permintaan tidak dijawab oleh Damsyik.
“Keupayaan kami untuk memasuki kawasan terbabit dan kawasan yang dikepung terjejas teruk disebabkan sikap pihak berkuasa Syria.
“Sikap sedemikian tidak boleh diterima sebagai anggota PBB dan sebuah negara yang menandatangani piagam antarabangsa,” katanya.
Kira-kira 13.5 juta penduduk Syria memerlukan bantuan bekalan makanan selepas perang saudara yang tercetus sejak 2011 mengakibatkan kemusnahan yang teruk selain mencetuskan krisis kebuluran yang meruncing.
Sementara itu, kumpulan kemanusiaan Syria, Kesatuan Penyelamat dan Perubatan (UOSSM) melaporkan, sebanyak 177 buah hospital musnah dan hampir 700 pekerja kesihatan maut akibat perang di negara itu.
Presiden UOSSM, Qubaida al-Mufti berkata, sejak 2012, kemudahan perubatan sering menjadi sasaran serangan udara dan pengeboman oleh kedua-dua pihak bertelagah iaitu kerajaan Syria dan kumpulan penentang.
Tambahnya, tahun lalu sahaja, sebanyak 112 buah hospital menjadi sasaran serangan manakala dalam tempoh 2012 sehingga 2015, seramai 697 staf perubatan termasuk doktor, jururawat dan lain-lain terkorban akibat serangan bom dan tembakan.
“Serangan ini secara jelas melanggar undang-undang kemanusiaan dan konvensyen antarabangsa,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, usaha untuk menamatkan krisis peperangan di Syria masih samar apabila pakatan pembangkang menangguhkan keputusan untuk menyertai rundingan damai yang diusahakan PBB.
Jawatankuasa Tertinggi Rundingan yang ditubuhkan bagi menyatukan kumpulan pembangkang dan penentang, bertemu buat kali kedua pada hari ini bagi menentukan sama ada mahu menerima jemputan PBB ke Geneva bagi meneruskan rundingan.
Jurucakap jawatankuasa itu, Salem al-Meslet berkata, pihaknya masih belum boleh membuat keputusan sehingga menerima maklum balas dari wakil PBB ke Syria, Staffan de Mistura untuk meneruskan rundingan berkenaan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/syria-abai-permintaan-pbb-1.184618#sthash.4MVWT024.dpuf

44 terbunuh serangan udara Rusia


Tentera prokerajaan Syria mengukuhkan kedudukan di bandar Ain
Tentera prokerajaan Syria mengukuhkan kedudukan di bandar Ain al-Hanash berhampiran al-Bab di timur Aleppo, kelmarin. AFP
BEIRUT 28 Jan. – Sekurang-kurangnya 44 orang awam terbunuh dalam serangan udara yang dipercayai dilancarkan tentera Rusia di bahagian utara dan timur Syria semalam, yang berada di bawah penguasaan kumpulan militan IS.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklukan, serangan pertama membunuh sebanyak 29 orang awam termasuk sembilan wanita dan tiga orang kanak-kanak di perkampungan dikuasai IS di timur wilayah Deir Ezzor.
Serangan kedua pula meragut 15 nyawa termasuk lima beradik di bandar al-Bab, sebuah kubu IS di wilayah Aleppo.
Jelas badan itu, berpuluh-puluh orang turut cedera dalam serangan tersebut.
Pertubuhan yang beribu pejabat di Britain dan bersandarkan maklumat kepada rangkaian aktivis di Syria itu memberitahu, jet Rusia tersebut dikenal pasti menerusi corak serta jenisnya termasuk kelengkapan yang digunakan pesawat.
Rusia mula melancarkan serangan udara di Syria sejak September tahun lalu bagi menyokong pemerintahan Presiden Bashar al-Assad, manakala tentera perikatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) mula menyerang kedudukan IS di Syria dan Iraq sejak 2014.
Sokongan ketenteraan Rusia membantu tentera Bashar mara sejak beberapa bulan lalu dan menurut badan pemantau itu, tentera kerajaan meluaskan penguasaan sehingga lapan kilometer dari al-Bab.
Kedudukan itu paling hampir pernah dicapai tentera kerajaan di bandar berkenaan, kubu utama IS di Aleppo sejak 2012.
Al-Bab kira-kira 30 kilometer dari selatan sempadan Turki jatuh ke tangan penentang pada Julai 2012 sebelum IS mengambil alih penguasaan di kawasan tersebut pada 2013.
Badan pemantau itu pada minggu lalu melaporkan, serangan udara Syria membunuh lebih 1,000 orang awam termasuk 200 orang kanak-kanak. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/44-terbunuh-serangan-udara-rusia-1.184617#sthash.WzRLzcAq.dpuf