ANGELINA JOLIE tiba di bangunan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghadiri mesyuarat dengan Majlis Keselamatan PBB mengenai konflik Asia Barat dan Syria di New York, kelmarin. AFP
Sebagai duta khas Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, Jolie melemparkan kritikan tersebut selepas mengadakan lawatan ke kem pelarian sebanyak 11 kali untuk menilai situasi semasa rakyat Syria yang terhimpit akibat perang.
Menurutnya, dianggarkan 3.9 juta rakyat Syria menjadi pelarian sejak perang saudara meletus kira-kira empat tahun lalu di negara itu.
“Tujuan PBB ditubuhkan adalah untuk menghalang dan menamatkan konflik, menjadikan negara di seluruh dunia bersatu dan mencari penyelesaian politik serta menyelamatkan nyawa.
“Ternyata kita (PBB) gagal menterjemahkan tujuan itu di Syria,” katanya ketika berucap pada sidang badan dunia itu, semalam.
Jolie turut menyuarakan kemarahannya terhadap kebuntuan untuk menamatkan perang di Syria ketika duta dan menteri saling berbahas tentang krisis kemanusiaan yang menyebabkan negara itu terjerumus ke lembah kehancuran.
Tambahnya, krisis di Syria semakin buruk akibat perbezaan pendapat dan kegagalan masyarakat antarabangsa terma­suk Majlis Keselamatan PBB me­nunaikan tanggungjawab mereka.
“Majlis itu sepatutnya bersatu untuk menyelesaikan konflik dan membantu berjuta-juta rakyat Syria yang menjadi pelarian di negara-negara jiran,” katanya.
Majlis Keselamatan PBB terbahagi antara kuasa Barat yang mahu tekanan dikenakan ke atas Damsyik, manakala sekutu kuat Syria iaitu China dan Rusia tidak bersetuju dengan usul tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, sekurang-kurangnya 60 askar kerajaan Syria terbunuh akibat pertempuran dengan kumpulan penentang di bandar Jisr al-Sughut dekat wilayah Idlib. – AFP