DAMSYIK - SYRIA . Pejuang Kurdish Syria kini dilaporkan telah mara ke arah utara sempadan negara di bandar Tal Abyad dekat wilayah Raqqa, yang ditawan kumpulan militan IS.
 
Menurut Pusat Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) kini berada beberapa kilometer (km) di timur Tal Abyad, iaitu pusat pentadbiran daerah di Raqqa.
 
Dalam satu kenyataan kelmarin, YPG berkata, kumpulan militan Takfiri telah hilang kawalan di bandar Suluk, kira-kira 20 km di tenggara bandar terbabit.
 
Laporan juga menyebut, YPG telah menawan semula beberapa kampung.
 
Selain itu, anggota militan Takfiri turut diusir dari laluan bekalan strategik yang menghubungkan Tal Abyad dengan Raqqa.
 
Difahamkan, penaklukan semula Tal Abyad bakal menjadi tamparan hebat kepada IS, yang menggunakan sempadan bandar berhampiran Turki untuk penjualan minyak secara haram dan menyeludup militan asing ke Syria. - Press TV