Monday 28 April 2014

Selami derita rakyat Syria


Gaziantep (Turki): Umat Islam di seluruh dunia diperingatkan agar tidak berpeluk tubuh dan membiarkan saja konflik di Syria yang sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu yang kini mengorbankan hampir 200,000 nyawa.
Exco Muslim Care Malaysia, Nazmi Abdul Karim berkata, Syria bumi anbia dan tempat perhimpunan umat Islam akhir zaman sebagaimana sabda Rasulullah SAW, harus dipelihara kesuciannya.

“Di atas kesedaran dan tanggungjawab itulah Muslim Care mengambil tanggungjawab mengutip sumbangan kewangan daripada rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada rakyat Syria yang kini menderita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap kepada lebih 100 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu rakyat Syria dalam satu persidangan, semalam.

Nazmi berkata, bermula Mei dua tahun lalu Muslim Care bergiat aktif membantu rakyat Syria yang ditindas rejim Presiden Bashar al-Assad sejak 2011.

Selain menyalurkan pelbagai keperluan, Muslim Care juga dalam proses membina sebuah kilang roti di Damsyik selepas berjaya membina sebuah kilang roti di Gaza, Palestin.
Foto
NAZMI (kanan) diberi penghormatan menyampaikan ucapan.
“Kewujudan kilang roti ini penting untuk rakyat dua negara bergolak ini supaya mereka mampu menjana bekalan sendiri serta ada peluang pekerjaan,” katanya.

Muslim Care yang mewakili Malaysia dan satu-satunya wakil NGO dari Asia dijemput ke persidangan itu yang turut dihadiri Perdana Menteri kerajaan sementara Syria, Dr Hassan Hito dan wakil kerajaan Mesir, Dr Muhammad Abd Salaam.
Persidangan selama tiga hari itu bermula Sabtu lalu bertujuan menyatukan semua NGO yang membantu rakyat Syria dari dalam dan luar Turki bagi merancang kerjasama serta saling bertukar pandangan.

Dr Hassan dan Dr Muhammad, kedua-duanya mengucapkan terima kasih kepada Muslim Care serta rakyat Malaysia keseluruhannya yang prihatin dan tidak jemu membantu rakyat Syria.

Dr Muhammad berkata, Rasulullah SAW bersabda apabila rosaknya penduduk Syam (Syria) maka tiada kebaikan bagi kamu (umat Islam).

“Berdasarkan hadis ini, semua umat Islam bertanggungjawab membantu kerosakan yang berlaku di Syria sekarang. Jika kita membiarkannya saja, maka tiadalah lagi kebaikan ke atas kita,” katanya.

Selain menghadiri persidangan di sini, rombongan Muslim Care seramai enam orang termasuk Bendahari Agungnya, Zulkifli Wahijan akan turut ke wilayah Idlib, Syria bagi menyalurkan sumbangan berjumlah kira-kira RM750,000 yang dikutip daripada rakyat Malaysia untuk misi bantuan kali keempat ini.

Sementara itu sumbangan daripada rakyat Malaysia terus diperlukan dan boleh disalurkan melalui nombor akaun Maybank 564490211159 dan Bank Islam 14032010093666 atas nama Muslim Care Malaysia serta akaun RHB Bank 26212000004747 atas nama Muslim Care.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/28