Wednesday 26 November 2014

Rejim Syria Serang IS, 63 Terbunuh


Diterbitkan: Rabu, 26 November 2014 2:58 PM

BEIRUT: Seramai 63 terbunuh di Raqa apabila tentera Syria melakukan dua serangan udara berturut-turut di kawasan yang dikawal oleh kumpulan militan Negara Islam (IS).
Dalam serangan oleh tentera rejim Bashar al-Assad itu, seramai 36 daripada 63 mangsa merupakan orang awam manakala selebihnya gagal dikenalpasti.

"Dikalangan 63 yang terbunuh dalam serangan itu, seramai 36 merupakan orang awam.
"Selain itu ramai juga yang cedera dalam serangan berturut-turut paling teruk oleh tentera Syria sejak setahun lalu.
"Serangan pertama dilakukan terhadap kawasan penempatan awam dan apabila usaha menyelamat sedang dilakukan, serangan kedua dibuat," jelas wakil Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman.

Dalam pada itu, kumpulan aktivis turut mengedarkan video serangan yang dianggap kejam itu.
Dalam rakaman tersebut kelihatan cebisan daging manusia dan kumpulan orang awam yang mengalami kecederaan.

12.2 juta rakyat Syria perlukan bantuan kemanusiaan - PBB

NEW YORK: Dianggarkan 12.2 juta rakyat Syria memerlukan bantuan kemanusiaan berikutan meningkatnya keganasan dan keadaan tidak menentu di negara itu.
Jumlah itu meningkat lebih tinggi berbanding 10.8 juta pada Julai lalu, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Valerie Amos, memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa penyaluran bantuan dari Turki dan Jordan ke kawasan dikuasai pemberontak di Syria tanpa kelulusan kerajaan berjaya membantu menangani masalah itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Keselamatan agar melanjutkan program agihan bantuan menerusi sempadan yang tamat pada 9 Januari depan.
Amos memberi gambaran betapa buruknya keadaan di Syria - 40 peratus penyusutan ekonomi sejak 2011, satu pertiga penduduk hidup dalam kemiskinan, 50 peratus penurunan kehadiran ke sekolah, 7.6 juta pelarian dalam negara dan 3.2 juta pelarian di negara asing.
Beliau berkata, sejak wujudnya resolusi membenarkan bantuan dibawa menyeberangi sempadan, pasukan bantuan PBB berjaya memasuki empat kawasan sukar iaitu Aleppo, Idlib, Daraa, dan Quneitra. - AP

Pelarian Syria di Greece mogok lapar


Pelarian Syria di Greece menuntut kerajaan mencari penyelesaian untuk mereka.
Pelarian Syria di Greece menuntut kerajaan mencari penyelesaian untuk mereka. 
26 November 2014


ATHENS - GREECE . Lebih 200 pelarian Syria di Greece melancarkan mogok lapar di ibu negara Athens, semalam.

Protes yang dimulakan di hadapan bangunan Parlimen Greece sejak 19 November lalu, bertujuan menggesa kerajaan memberi mereka pekerjaan dan hak bermastautin sementara.

Difahamkan, beberapa penunjuk perasaan bertindak duduk di kaki lima dan menutup mulut mereka dengan pita pelekat.

Greece merupakan pintu masuk pelarian yang ingin ke Kesatuan Eropah dan negara terbabit menyaksikan peningkatan dalam bilangan pelarian Syria berikutan ramai yang menyeberangi dengan bot dari Turki, dipetik dari laporan Press TV.