Thursday 11 August 2016

4 maut dipercayai akibat serangan bom kimia di Aleppo

ALEPPO: Sekurang-kurangnya empat maut dan ramai lagi mengalami kesukaran bernafas apabila gas, dipercayai klorin, digugurkan bersama-sama bom tong di kawasan penempatan di Aleppo pada Rabu.
Pengurus hospital Al Quds di Aleppo, Hamza Khatib, memberitahu pihaknya merekodkan empat kematian akibat keracunan gas dan 55 kecederaan. Tujuh lagi masih menerima rawatan.
Khatib berkata, beliau menyimpan cebisan pakaian pesakit dan serpihan bom tong sebagai bukti untuk dianalisis.
Perkhidmatan penyelamat Syria, Pertahanan Sivil Syria, yang beroperasi di wilayah dikuasai pemisah, memberitahu ia merekodkan tiga kematian dan 22 kecederaan selepas tong berisi gas dipercayai klorin jatuh di kawasan penempatan Zubdiya.
Kumpulan yang menggambarkan diri sebagai kumpulan sukarelawan mencari dan menyelamat bebas, berkata ia tidak dapat mengesahkan sifat gas itu.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, helikopter menggugurkan bom tong di penempatan Seif al Dawla dan Zubdiya, membawa kepada kematian seorang wanita dan anaknya kerana lemas.
Ada laporan tidak dapat disahkan dalam kalangan aktivis dan penduduk bahawa gas klorin digugurkan di timur Aleppo sejak pemisah melancarkan serangan.
Pusat Media Aleppo, portal berita online pembangkang di bandar raya itu, menyiarkan video berkata ia adalah mangsa serangan gas: seorang kanak-kanak dan dewasa bernafas menggunakan alat pernafasan. - Reuters

KERETA kebal askar Syria membedil di kawasan Ramousah, barat daya Aleppo, Syria. - Foto REUTERS

Doktor Syria rayu AS bantu hentikan kepungan rejim di Aleppo



GAMBAR fail, orang awam menyelamatkan seorang bayi dari tapak serangan udara di kawasan pemberontak diadakan daerah al-Fardous Aleppo, Syria pada April, 2016. - Foto REUTERS
BEIRUT: Doktor Syria di wilayah Aleppo yang dikuasai pemisah menuduh Amerika Syarikat tidak bertindak sepatutnya berhadapan dengan kekejaman berulang di bandar raya itu.
Dalam surat menyentuh hati kepada Presiden Barack Obama, 15 daripada 35 doktor di bandar raya kedua terbesar di Syria itu memberi amaran keadaan amat terdesak kepada penduduk awam jika rejim kerajaan melaksanakan semula kepungan.
Pada Sabtu, pemisah berjaya menamatkan kepungan selama tiga minggu yang dibuat tentera kerajaan, menyebabkan penduduk di timur Aleppo pulih daripada kenaikan mendadak harga barang dan kekurangan makanan.
Namun pakar kanak-kanak, pakar bedah dan doktor lain yang menandatangani surat itu berkata keadaan masih teruk.
"Kecuali laluan ke Aleppo dibuka, kami cuma menanti masa dikepung lagi oleh rejim kerajaan, kelaparan berlaku dan bekalan hospital hampir kekeringan," menurut surat berkenaan.
Ia turut mengecam Amerika, berkata 'tiada usaha dilakukan bagi pihak Amerika untuk menarik sekatan atau menggunakan pengaruhnya untuk mendesak pihak terbabit melindungi penduduk awam.'
"Kami tidak perlukan air mata atau simpati, atau doa, kami perlukan tindakan. Buktikan anda adalah rakan rakyat Syria," katanya.
Anggaran 250,000 penduduk masih berada di bahagian timur yang dikuasai pemisah, dengan kira-kira 1.2 juta di barat yang ditawan tentera kerajaan. - AFP

142 orang awam Aleppo terbunuh sejak 31 Julai - Luar Negara - Utusan Online

142 orang awam Aleppo terbunuh sejak 31 Julai - Luar Negara - Utusan Online:



Gambar bertarikh 26 Julai 2016 yang disediakan aktivis Pusat Media

Gambar bertarikh 26 Julai 2016 yang disediakan aktivis Pusat Media Aleppo merakamkan penduduk Syria memerhatikan sebuah jentera berat mengalihkan sisa runtuhan sebuah bangunan yang dibedil dalam satu serangan udara di Aleppo. - AP





DAMSYIK 11 Ogos - Sekurang-kurangnya 142 orang awam terbunuh dalam serangan oleh kumpulan pemberontak di wilayah Aleppo sejak 31 Julai lalu dengan sebahagian besar mangsa merupakan wanita dan kanak-kanak.

Sumber tentera Syria yang tidak mahu dikenali berkata, sekurang-kurangnya 48 kanak-kanak, 31 wanita dan 62 orang lelaki terbunuh sebagai tambahan kepada 672 kecederaan yang dialami sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.

Serangan oleh kumpulan pemberontak termasuk penggunaan meriam dan roket itu menjadikan beberapa daerah yang dikuasai tentera kerajaan di barat Aleppo sebagai sasaran.

Stesen televisyen al-Mayadeen melaporkan, jumlah kematian dalam kalangan orang awam minggu lalu mencecah jumlah 162 orang dengan 662 lagi cedera. - BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/142-orang-awam-aleppo-terbunuh-sejak-31-julai-1.368971#sthash.OY5nbmLu.dpuf

'via Blog this'