TIRANA - ALBANIA. Albania menolak permintaan Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi tuan rumah pemusnahan senjata kimia Syria.

Perdana Menteri Edi Rama berkata, permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana tiada kepakaran mencukupi untuk melupuskan ribuan tan toksik itu.

“Kami menghormati keputusan itu tetapi ia adalah mustahil untuk terlibat dalam operasi ini. Kami tidak mempunyai kapasiti yang diperlukan,” katanya dalam laporan Press TV.

Terdahulu, ribuan rakyat negara itu melakukan protes terhadap keputusan mesyuarat Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) dan AS di The Hague yang mahukan negara terbabit terlibat dalam operasi berkenaan.

Mengikut sumber OPCW, keputusan itu tidak masuk akal kerana tiada mana-mana negara sanggup terlibat dalam operasi pemusnahan ini.

September lalu, Syria bersetuju memusnahkan seluruh stok senjata kimia seperti dalam perjanjian yang ditaja Rusia dan AS.

Presiden Bashar al-Assad terpaksa menerima rancangan itu selepas Washington mengancam menggunakan kekerasan sebagai tindak balas terhadap serangan gas sarin yang membunuh ratusan penduduk di Damsyik, Ogos lalu.