Saturday 19 March 2016

Kurdis isytihar wilayah persekutuan di utara Syria

KHAMIS, 17 MAC 2016 @ 10:28 PM

AHLI biro bersidang bagi mengumumkan satu sistem persekutuan di bandar Kurdish. - Foto Reuters

RMEILAN: Puak Kurdis di Syria hari ini mengisytiharkan sebuah wilayah persekutuan di kawasan dalam kawalan mereka di utara negara dilingkari konflik itu, namun kerajaan dan pakatan pembangkang menolak tindakan berkenaan.

Pengumuman itu kemungkinan membangkitkan kemarahan jirannya di Turki dan merumitkan proses rundingan damai di Geneva yang menyasar menamatkan perang saudara lima tahun. Amerika Syarikat, penyokong utama pejuang Kurdis dalam pertempuran menentang militan IS, turut memberi amaran ia tidak mengiktiraf mana-mana pemerintahan sendiri puak Kurdis dalam Syria.

 Lebih 150 delegasi dari Kurdis, Arab, Assyria dan pihak lain bermesyuarat di Syria bersetuju mewujudkan satu "sistem persekutuan" menggabungkan jajahan dikendalikan puak Kurdis di beberapa wilayah di Syria. Seorang anggota jawatankuasa persediaan persidangan, Aldar Khalil berkata, pihaknya memberi kelulusan untuk penubuhan satu sistem persekutuan di Rojava (tiga wilayah jajahan Kurdis) dan utara Syria.

 Sihanuk Dibo daripada parti serpihan utama Kurdis Syria, Parti Kesatuan Demokratik, berkata, delegasi persidangan itu 'meluluskan' pelan terbabit. Puak Kurdis sudah mengendalikan satu sistem tiga 'pentadbiran autonomi' di utara Syria, dengan pasukan polis bebas dan sekolah. -AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/134633

Russia beri amaran mampu tambah tentera di Syria

KHAMIS, 17 MAC 2016 @ 10:37 PM



PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto AP

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin memberi amaran hari ini, Russia mampu meningkatkan jumlah tentera Syria hanya dalam tempoh beberapa jam jika diperlukan, ketika menggesa semua pihak dalam konflik supaya mematuhi gencatan senjata.

 "Jika ada keperluan, Russia mampu menambah anggota dalam tempoh beberapa jam dan menggunakan semua keupayaan tentera yang ada untuk berdepan sebarang situasi.

 "Bagaimanapun kita enggan melakukannya, peningkatan ketenteraan bukan pilihan kami. Ia menjadi sebab untuk kami meletakkan harapan kepada semua pihak supaya komited terhadap proses damai terutama kerajaan dan pembangkang Syria," katanya ketika meraikan anggota tentera yang berkhidmat di Syria.

Amaran Putin itu dikeluarkan selepas beliau mengarahkan sebahagian besar tentera Russia berundur secara mengejut dari Syria Isnin lalu, sambil menyatakan matlamat Russia pada umumnya sudah selesai. Bercakap kepada pegawai kanan tentera, beliau berkata Moscow tidak akan meninggalkan sekutunya Presiden Bashar al-Assad dan berjanji sokongan berterusan ketenteraan dan bidang lain kepada rejim itu. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/134636

Tenggara Turki digegar bom, pegawai polis maut

JUMAAT, 18 MAC 2016 @ 9:54 PM


KEPULAN asap tebal naik ke udara di daerah Baglar, Diyarbakir, lokasi pertempuran antara anggota keselamatan Turki dan militan Kurdis pada 16 Mac lalu. - Foto fail Reuters


DIYARBAKIR: Satu serangan bom oleh militan Kurdis mengorbankan seorang pegawai polis di tenggara Turki hari ini manakala satu lagi peranti dimatikan di luar sebuah bangunan kerajaan.

Kejadian berlaku ketika kedutaan asing mengeluarkan amaran keselamatan mengenai bantahan hujung minggu ini.

Turki berada dalam keadaan berjaga-jaga peringkat tinggi sejak kejadian pengeboman bunuh diri yang didakwa dilakukan kumpulan militan Kurdis sehingga mengorbankan 37 orang di ibu kota Ankara, Ahad lalu.

 Jerman menutup misi diplomatik dan sekolahnya di Turki, manakala kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memberi amaran kepada rakyatnya supaya berjaga-jaga.

Sumber keselamatan berkata, militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dipercayai melancarkan serangan hari ini ke atas kenderaan berperisai polis ketika operasi keselamatan di bandar Nusaybin berhampiran sempadan Syria.

 Pihak berkuasa negeri berkata, di Bandar Hani, juga di bahagian tenggara yang dikuasai penduduk Kurdis, polis menemui sebuah kenderaan dipenuhi 150 kilogram bahan letupan.

 Ia dipercayai bakal diletupkan bagi menandakan ulang tahun kejayaan Perang Dunia Pertama di Canakkale, hari ini. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/134915

Misi 10 anggota Aman Palestin berlepas ke Syria

SABTU, 19 MAC 2016 @ 12:04 AM


Oleh Alzahrin Alias zahrin@bh.com.my

WARTAWAN BH, Alzahrin Alias (lima dari kanan) yang mengikuti misi Aman Palestin ke Syria.

SEPANG: Sepasukan 10 anggota pertubuhan kemanusiaan tempatan, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), berlepas ke Syria, awal pagi ini dalam misi bantuan kemanusiaan dan pencarian fakta. Misi Aman Palestin selama 10 hari itu diketuai oleh Pengarah Media dan Dokumentasinya, Anas Abdul Wahab berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini. Rombongan 10 peserta yang disertai wakil BH, mengambil penerbangan secara transit di Abu Dhabi menuju ke Beirut, sebelum menggunakan pengangkutan darat memasuki Syria yang bersempadan dengan Lubnan. Anas berkata, ini adalah kali kelapan Aman Palestin memasuki negara bergolak itu dan kali pertama sejak gencatan senjata bermula pada 27 Februari lalu.

Katanya, sebelum ini bantuan kemanusiaan sukar memasuki Syria disebabkan campur tangan kuasa besar dunia seperti Arab Saudi, Russia dan Amerika Syarikat sekali gus menutup peluang rakyat Syria mendapat pembelaan dan bantuan dari negara luar.

 "Misi kali ini turut disertai seorang doktor kerana rakyat Syria sukar mendapat perkhidmatan paramedik atau pegawai perubatan kecuali yang masuk ke negara itu sebagai sukarelawan," katanya. "Misi kemanusiaan yang sepatutnya dijadualkan bertolak pada pertengahan bulan Februari lalu terpaksa ditangguhkan pada 19 Mac disebabkan keadaan negara Syria yang tidak stabil serta keselamatan peserta lebih diutamakan.

"Keutamaan misi adalah untuk membantu serta melihat sendiri keadaan sebenar keadaan pelarian ditambah dengan kesukaran bantuan luar untuk masuk ke dalam kem pelarian yang teruk akibat peperangan seperti Kem Pelarian Yarmuk, Madaya dan Daraya," katanya.

Anas berkata, sebelum ini Aman Palestin sudah menyampaikan bantuan musim sejuk membabitkan kos sebanyak RM1.2 juta dan misi kali ini pula menyampaikan bantuan barangan makanan harian dengan kos RM400,000.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh terus menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/134956

PM Turki, EU sebulat suara bendung pendatang

SABTU, 19 MAC 2016 @ 12:11 AM




PERDANA Menteri Turki, Ahmet Davutoglu. - Foto EPA


BRUSSELS: Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu bersama 28 pemimpin Kesatuan Eropah (EU) hari ini secara rasmi mencapai persetujuan untuk membendung lebih ramai kebanjiran pendatang ke rantau Eropah. Perkara itu dinyatakan oleh Presiden EU, Donald Tusk, menerusi akaun Twitternya selepas berakhirnya rundingan berkenaan. "Ia menerusi persetujuan sebulat suara antara semua ketua negara Kesatuan Eropah dan Perdana Menteri Turki berhubung Pernyataan EU-Turki," katanya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/134964

Puak Kurdis isytihar wilayah persekutuan di Syria


REUTERS - DELEGASI yang menyertai persidangan untuk mewujudkan sistem pemerintahan persekutuan Kurdis bergambar di bandar Rmeilan, wilayah Hasaka, Syria kelmarin. RMEILAN, Syria – Puak Kurdis kelmarin mengisytiharkan sebuah wilayah persekutuan di kawasan penguasaan mereka di utara Syria, namun langkah tersebut ditolak oleh kerajaan dan kumpulan penentang di negara bergolak tersebut.
Pengumuman itu dipercayai akan membangkitkan kemarahan jiran Syria, Turki di samping menyukarkan proses damai di Geneva bagi menamatkan perang saudara di negara itu yang berlarutan selama lima tahun.
Amerika Syarikat yang menjadi penyokong kuat pejuang Kurdis memerangi kumpulan militan Islamic State (IS) turut memberi ama­ran bahawa ia tidak akan mengiktiraf sebarang wilayah pemerintahan Kurdis di Syria.
Lebih 150 delegasi daripada puak Kurdis, Arab, Assyria dan parti-parti lain yang bermesyuarat di tenggara Syria bersetuju mewujudkan sistem pemerintahan persekutuan itu bagi menyatukan kawasan yang dikuasai puak Kurdis di beberapa wilayah Syria.
“Kami memberikan persetujuan untuk menubuhkan sistem peme­rintahan persekutuan di Rojava (tiga kawasan puak Kurdis) dan uta­ra Syria,” kata seorang ahli jawatankuasa berkenaan, Aldar Khalil.
Pengumuman mengenainya dibuat pada hari kedua mesyuarat berkenaan di Rmeilan, sebuah bandar sempadan di wilayah Hasakeh, timur laut Syria.
Sebelum ini, parti-parti puak Kurdis telah mewujudkan tiga pentadbiran autonomi di utara Syria yang mempunyai polis dan sekolah berasingan.
Tiga kawasan yang terletak di utara Syria dan bersempadan dengan Turki itu dikenali sebagai Afrin, Kobane dan Jazire.
Unit Perlindungan Bangsa Kurdis (YPG) yang merupakan sayap bersenjata Parti Kesatuan Demokratik Kurdis telah membersihkan kawasan yang luas di rantau ber­kenaan daripada penguasaan IS.
Turki menganggap YPG sebagai sekutu Parti Pekerja Kurdistan (PYD) di Syria, Ankara memerangi PYD yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada Turki. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz43JkgZxID 
Hakcipta terpelihara