Sunday 18 October 2015

Hungary tutup sempadan


Tiga kanak-kanak pelarian terbaharu maut bot karam di Laut Agean
18 Oktober 2015 12:05 AM




BUDAPEST 17 Okt. - Tiga kanak-kanak antara empat pelarian mati lemas dalam kejadian terbaharu membabitkan cubaan menyeberangi Laut Agean di Greece, awal hari ini.
Menurut laporan pengawal pantai Greece, kesemua mang­sa yang tidak dikenali kerakyatan mereka, terbunuh apabila bot yang dinaiki karam berdekatan Pulau Kalymnos dan 11 lagi mang­sa berjaya diselamatkan.
Bagaimanapun seorang lagi kanak-kanak dilaporkan masih hilang dan usaha mencari sedang giat dilaksanakan.
Kes terbaharu itu berlaku ketika beribu-ribu pelarian terkandas di Croatia apabila kerajaan Hungary menutup sempadannya dengan negara jirannya itu awal hari ini bagi mengekang kemasukan pelarian.
Menurut laporan AFP, askar dan polis Hungary memasang kawat berduri di laluan utama sempadan ke negara ini selepas menerima sekurang-kurangnya 1,500 pelarian yang tiba menaiki kereta api.
Tindakan Budapest itu memaksa Croatia mengambil keputusan untuk mengalihkan laluan pelarian ke Slovenia, langkah yang menyebabkan pelarian tidak mempunyai pilihan sama ada kekal di Croatia atau bergerak ke Slovenia.
Namun kerajaan Slovenia bertindak menggantung perkhidmatan kereta api dengan Croatia, sekali gus merumitkan lagi krisis tersebut.
Dalam perkembangan sama, usul pakej bantuan kewangan daripada EU kepada Turki untuk menangani krisis pelarian ditolak oleh Ankara kerana disifatkan sebagai tidak mencukupi dan tidak boleh diterima.
Menteri Luar Turki, Feridun Sinirlioglu berkata, pelan tindakan itu hanya merupakan draf yang dipersetujui di Brussels dan belum dimeterai sepenuhnya.
“Jika EU menawarkan bantuan tiga bilion euro (RM14.2 bilion) pada fasa awal, tindakan itu lebih bermakna dan diterima.
“Kerajaan Turki telah mem­belanjakan tujuh bilion euro (RM37 bilion) bagi membantu pelarian dan bantuan tersebut bukan untuk kami tetapi bagi membantu rakyat Syria yang memerlukan,” katanya seperti dilaporkan Al Jazeera.
Dalam perkembangan berasingan, sebanyak 12 orang pelarian lemas apabila bot yang mereka naiki untuk ke Greece karam semasa berada di perairan Turki.
Pasukan pengawal pantai Turki pada masa sama menyelamatkan 25 penumpang bot kayu itu selepas pelarian berkenaan sempat menghubungi pihak berkuasa dengan telefon bimbit mereka sebelum bot berkenaan karam. 
– AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hungary-tutup-sempadan-1.147632#sthash.2Emjb7FA.dpuf