SHAH ALAM - Polis mengesahkan tiga rakyat Malaysia yang ditembak kereta kebal mengakibatkan seorang daripadanya terbunuh, manakala dua lagi cedera ketika berjuang di Syria, merupakan bekas ahli Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang pernah ditumpaskan pihak berkuasa negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua ahli itu, Mat Soh atau Abu Turab dan Zainuri Kamarudin, 47, juga pernah ditahan di bawah Akta Senjata Api kerana bersubahat merompak sebuah bank di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 15 Jun 2001.

Menurutnya, seorang lagi dikenali sebagai Mohd Rafi Udin, 49, adalah bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Kita percaya Mat Soh yang terbunuh di Wilayah Hama merupakan lelaki yang bernama Zainan Harith, 52, menetap di Petaling Jaya dan merupakan anggota KMM.

“Manakala Mohd Rafi yang kini kritikal merupakan pemandu teksi yang menetap di Cheras dan pernah ditangkap polis Indonesia pada 22 April 2003 di Pulau Sulawesi, Indonesia,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, Mohd Rafi pernah diusir keluar dari negara itu setahun kemudian sebelum ditangkap di bawah ISA dan dibebaskan pada 18 Ogos 2006.

“Zainuri yang cedera di paha dan tengkuk merupakan juruteknik yang berasal dari Bota, Perak. Pernah ditangkap pada tahun 2001 kerana memiliki senjata api dan bahan letupan serta dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 18 sebatan,” katanya.

Menurutnya, Mohd Rafi dan Zainuri juga pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan.

“Kira-kira 30 rakyat Malaysia dikesan berada di Syria dan Iraq untuk berperang dengan tentera pemberontak dan jumlah ini meningkat berbanding hanya 20 orang sepanjang tahun lalu.

“Kita telah kenal pasti 22 rakyat Malaysia yang berada di negara-negara berkenaan dan terlibat dalam konflik. Ada yang dilaporkan telah meninggal dunia, namun agak sukar untuk polis mengesahkan perkara itu," katanya.

Beliau berkata, tiada bukti kukuh yang membolehkan polis menangkap mereka di bawah undang-undang baru Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihaknya sedang mengenal pasti identiti tiga individu yang terlibat dalam aktiviti militan di Syria.

Berita itu tersebar melalui blog dan laman sosial yang mengatakan salah seorang individu terbabit dikenali sebagai Mat Soh atau Abu Turab terbunuh ditembak kereta kebal.