Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata, serangan udara menggunakan pesawat F-16 tersebut memusnahkan sepenuhnya tiga kubu IS di wilayah berkenaan.
Agensi penyiar BBC melaporkan, selain serangan udara, insiden berbalas tembakan turut berlaku di kawasan sempadan antara tentera Turki dengan militan IS, yang berakhir dengan kematian seorang anggota tentera Ankara.
Tindakan kekerasan terhadap militan IS itu disusuli serbuan pagi ini apabila pihak polis menangkap kira-kira 297 suspek anggota kumpulan terbabit di seluruh negara.
Ahli kumpulan Parti Pekerja Kur­distan (PKK) dan Parti Barisan Revolusi Pembebasan Rakyat (DHKP-C) turut ditangkap di Ankara, Izmir dan wilayah Sanliurfa yang berhampiran dengan sempadan Syria.
Agensi berita Dogan melapor­kan, sebanyak 140 premis diserbu di 26 daerah di Istanbul dalam operasi melibatkan 5,000 anggota polis.
Serbuan tersebut dilancarkan selepas 32 orang terbunuh dalam satu serangan berani mati di sebuah masjid yang terletak dengan sempadan Syria pada awal minggu ini.
Dalam pada itu, menurut Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, operasi terhadap kumpulan IS akan berlanjutan sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kelak.
Amerika Syarikat (AS) dijangka memulakan serangan pengembo­man terhadap IS selepas mencapai persetujuan dengan Turki untuk menggunakan akses menerusi Pang­kalan Udara Incirlik di selatan Turki.
Presiden, Barack Obama dan Erdogan telah memuktamadkan persetujuan itu menerusi perbualan telefon kelmarin dan perkara tersebut telah disahkan oleh seorang pegawai yang enggan dikenali.