Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, seramai 12 kanak-kanak dan sembilan wa­nita disahkan maut dalam serangan itu yang berlaku sebulan selepas gencatan senjata antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang dikuatkuasakan sebulan lalu.
Tambah laporan itu, seorang guru dan seorang pekerja kecemasan juga terbunuh, apabila sebuah ambulans terkena bom yang digugurkan oleh pesawat tentera kerajaan.
“Tentera kerajaan cuba menawan beberapa kawasan di wilayah Gouta Timur yang terletak di timur Damsyik yang dikuasai kumpulan penentang sejak perang saudara tercetus lima tahun lalu.
“Kawasan ini dikuasai beberapa kumpulan penentang termasuk militan Barisan Nusra yang dilabel sebagai pengganas dan tidak terlibat dalam perjanjian gencatan senjata,” jelas pertubuhan itu.
Tentera kerajaan mendakwa serangan itu menyasarkan kedudukan kumpulan Jabhat al-Nusra yang bersekutu dengan mi­litan al-Qaeda.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby mengutuk serangan terbabit yang menyebabkan kematian orang awam.
Kumpulan pembangkang Syria juga mengutuk serangan terbabit sebagai menggugat gencatan senjata dan boleh menjejaskan rundingan damai antara kedua-dua pihak yang dijadualkan bersambung dalam tempoh dua minggu. – REUTERS