Wednesday 2 December 2015

Perang mulut Erdogan, Putin

2 DISEMBER 2015


PARIS - Perang mulut antara Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin masih berterusan selepas seminggu insiden pesawat Moscow, Su-24 ditembak jatuh di sempadan Syria.
Dalam satu kenyataan, Erdogan menyatakan beliau sedia meletak jawatan jika dakwaan bahawa Ankara terlibat dengan urus niaga minyak dengan kumpulan militan IS adalah sahih.
"Kami tidak pernah terlibat dalam urusan jual beli minyak dengan mana-mana kumpulan militan.
"Saya sedia berundur dari tampuk pemerintahan negara  jika tuduhan yang dilemparkan Rusia itu benar," tegasnya dalam satu sidang media ketika Sidang Kemuncak Iklim PBB, kelmarin.
Terdahulu, Putin mendakwa IS menjalankan urus niaga minyak mereka melalui Turki selepas Ahli Parlimen Iraq, Mowaffak al-Rubaie mendedahkan kumpulan militan tersebut berjaya meraih keuntungan lebih AS$800 juta (RM3.4 bilion) hasil jualan bahan bakar tersebut melalui pasaran gelap di Ankara sejak lapan bulan lalu.
"Kami percaya tindakan menembak jatuh pesawat Moscow tersebut kerana mereka mahu melindungi talian bekalan minyak di wilayah Turki.
"Rusia menerima banyak maklumat tambahan yang mengesahkan bahawa bekalan minyak tersebut diangkut pada skala industri ke negara terbabit," katanya dalam satu sidang media berasingan.
Putin turut menyifatkan tindakan Ankara menembak jatuh pesawat pejuang mereka sebagai satu 'kesilapan besar' dan kempen jenayah.
Dalam perkembangan lain, kira-kira 1,250 trak yang membawa pelbagai  jenis produk dan barangan dari Turki dilaporkan terkandas di sempadan selepas ia dilarang memasuki Rusia sejak empat hari lalu.
Pengarah Urusan Pertubuhan Penghantaran Antarabangsa Turki (UND), Fatih Sener berkata, sekatan itu telah menyebabkan mereka terpaksa mencari laluan alternatif.
"Azerbaijan telah membuka sempadan negara mereka untuk kami.
"Kesemua trak tersebut akan menuju ke Asia Tengah melalui jalan tersebut yang sebenarnya menelan kos jauh lebih tinggi," jelasnya.  - Press T
V

Rusia bedil pasar sesak, 44 maut


1 DISEMBER 2015

Beberapa penduduk mengangkat mangsa cedera dalam serangan udara yang didakwa dilancarkan tentera Rusia.

DAMSYIK - SYRIA. Sekurang-kurangnya 44 terbunuh dan beberapa cedera, kelmarin, dalam insiden serangan udara dipercayai dilancarkan tentera Rusia di kawasan pasar sesak di wilayah Idlib di Syria. Jurucakap Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia di Syria (SOHR) mendakwa bedilan bertalu-talu itu menyasarkan bandar Ariha yang dikuasai tentera penakluk atau Jaish al-Fatah yang merupakan sekutu Barisan Nusra.
Sementara itu, saluran berita tempatan, Ariha al-Youm melaporkan bom berangkai turut digunakan dalam serangan tersebut.
Difahamkan, pegawai di Kementerian Pertahanan Rusia tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan dakwaan itu.
Sejak 30 September lalu, Moscow melancarkan campur tangan ketenteraan di Syria untuk memerangi IS dan kumpulan militan lain yang bermaharajalela di negara bergolak tersebut.
Bagaimanapun, wilayah Idlib terbabit bukan kubu kuat IS sebaliknya ia dikuasai tentera penakluk selepas pertempuran sengit dengan kumpulan penyokong tentera kerajaan pada Mei lalu, lapor al-Jazeera.

Serangan udara dua bulan ragut 1,500 nyawa

Beirut: Serangan udara dilancarkan Russia untuk membantu mengukuhkan rejim Presiden Bashar al-Assad sejak dua bulan lalu meragut lebih 1,500 nyawa, sepertiga daripadanya orang awam.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria yang berpejabat di London berkata, serangan yang bermula 30 September lalu membunuh 419 anggota Negara Islam (IS) dan juga 598 pejuang Barisan Al-Nusra serta kumpulan penentang Bashar yang lain.
Namun, turut terkorban dalam serangan berkenaan ialah 485 orang awam, 117 daripadanya kanak-kanak dan 47 lagi wanita.
Russia sejak dulu lagi menyokong Bashar dan berusaha mengekalkan pemerintahannya sejak sengketa bersenjata melanda Syria pada Mac 2011.
Ia meningkatkan sokongan itu dengan melancarkan serangan udara yang didakwanya menyasarkan IS.
Bagaimanapun, kumpulan penentang Bashar menuduh Moscow juga menyasarkan pejuang berfahaman sederhana yang disokong Barat.
Lebih 250,000 orang terbunuh di Syria sejak perang saudara meletus di negara itu pada Mac 2011. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 7:31 AM


SEORANG lelaki menggendong mayat anaknya yang terbunuh dalam serangan udara Russia di bandar Ariha di wilayah Idlib, kelmarin. Kira-kira 40 orang maut dalam serangan itu yang menyasarkan sebuah pasar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97005#sthash.nbXnbshR.dpuf

Dibakar bom kimia

Damsyik: Banyak laporan mendakwa tentera Russia melepaskan bom fosferus putih terhadap orang awam di barat laut Syria dalam kempen serangan udaranya terhadap kumpulan Negara Islam (IS).
Senjata kimia itu diharamkan di bawah Konvensyen Geneva kerana sangat bertoksik dan boleh membakar daging hingga ke tulang manusia.
Fosferus putih digunakan tentera untuk menerangi sasaran pada waktu malam atau bertindak sebagai bom asap pada waktu siang.
Beberapa gambar yang dimuat naik di Twitter menunjukkan langit dipenuhi senjata berbahaya itu ketika ia digugurkan di Raqqa, kubu kuat IS.
Ramai aktivis di bandar itu mendakwa ramai orang awam terperangkap dalam serangan itu yang mereka anggap jenayah perang.
Beberapa pertubuhan hak asasi manusia juga mendakwa serangan udara Russia lebih banyak membunuh orang awam berbanding militan IS.
Walaupun imej itu tidak dapat disahkan, tetapi beberapa penduduk di Raqqa melaporkan ada serangan di bandar itu menggunakan fosferus putih.
Pada 13 November lalu, saksi di bandar Idlib memberitahu majalah The Times, beberapa orang awam cedera teruk akibat dua serangan fosferus.
“Kami tahu ia adalah
fosferus kerana langit tiba-tiba bercahaya dan apabila ia jatuh, semuanya terbakar,” kata Ahmed, seorang aktivis di Idlib.
Katanya, dua kampung yang menjadi sasaran serangan didiami orang awam dan terletak kira-kira 80 kilometer dari kedudukan terdekat tentera.
Bahan kimia itu juga boleh mengakibatkan kerosakan jantung, hati dan buah pinggang jika diserap ke dalam badan serta boleh menyebabkan maut.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 6:50 AM


GAMBAR yang dimuat naik di Twitter oleh aktivis di Raqqa menunjukkan bahan yang dipercayai fosferus putih digugurkan pesawat Russia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97272#sthash.BWAsZON6.dpuf