Wednesday 7 September 2016

Britain gesa elak kesilapan di Iraq

DUNIA RABU, 7 SEPTEMBER 2016 @ 10:54 AM

GAMBAR fail, Menteri Luar Britain, Boris Johnson bercakap kepada sidang akhbar di Vienna, 2 September lalu. - Foto EPA

LONDON: Menteri Luar Britain, Boris Johnson, pada Rabu menggesa kesilapan dilakukan ketika perang di Iraq dielakkan dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik di Syria, menjelang rundingan dengan pembangkang negara itu.

 Johnson menuntut Presiden Bashar al-Assad digulingkan, berkata ia perlu bagi mengelakkan kekacauan yang menyusul penggulingan bekas Presiden Saddam Hussein pada 2003.

 "Mengapa perkara sama tidak sepatutnya berlaku lagi? Assad bukan pemimpin tetapi ketua lemah yang tidak boleh menyatukan negaranya, tidak selepas beliau terbabit dalam pembunuhan rakyatnya," tulis beliau dalam akhbar The Times.

Johnson menuduh Assad melakukan taktik kejam tentera dalam konflik berterusan itu dan mengkritik sokongan Russia terhadap pemimpin Syria berkenaan.

"Seluruh masyarakat antarabangsa komited, sekurang-kurangnya secara prinsip, untuk menyingkirkan diktator Syria.

"Malah Russia bersetuju perlu ada peralihan politik. Namun tetapi mereka menggunakan tentera untuk menghalang tindakan menggulingkan Assad dan membiarkan beliau terus berkuasa," katanya. Ulasan Johnson disiarkan menjelang pertemuan di London dengan Suruhanjaya Rundingan Tinggi, yang dijangka mendedahkan rangka kerja bagi peralihan politik lewat Rabu. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/190510

80 sesak nafas angkara bom klorin di Aleppo

DUNIA RABU, 7 SEPTEMBER 2016 @ 12:22 AM

ANTARA mangsa serangan gas klorin mendapatkan rawatan di hospital di Aleppo. - Foto AFP


BEIRUT: Satu serangan disyaki gas klorin ke atas kejiranan dikawal pemberontak di Aleppo menyebabkan berpuluh kes sesak nafas hari ini, kata pekerja penyelamat dan kumpulan pemantau.

Pertahanan Awam Syria, pertubuhan pekerja penyelamat yang beroperasi di kawasan dikawal pemberontak berkata, helikopter kerajaan menggugurkan bom tong mengandungi klorin di kejiranan Sukari di sektor timur Aleppo.

 Kerajaan Syria menafikan tuduhan menggunakan senjata kimia ketika perang saudara lima tahun negara itu sebelum ini.

Tentera Syria gagal dihubungi untuk mengulas. Pertahanan Awam menerusi akaun Facebook berkata, 80 orang mengalami sesak nafas. Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.

 Ia menghantar video menunjukkan kanak-kanak yang semput disimbah air menggunakan topeng oksigen untuk bernafas. Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, sumber perubatan melaporkan 70 kes sesak nafas. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/190427

Tentera Syria didakwa gugurkan ‘bom klorin’


7 SEPTEMBER 2016
Tentera Syria didakwa gugurkan ‘bom klorin’


Tentera Syria didakwa gugurkan ‘bom klorin’
ALEPPO – SYRIA. Tentera kerajaan Syria didakwa telah menggugurkan bom tong yang mengandungi klorin dari helikopter di pinggir bandar Aleppo sehingga mencederakan 80 orang awam.

Pekerja sukarelawan kecemasan memaklumkan bahawa orang awam mengalami kesukaran untuk bernafas selepas serangan di kawasan Sukari tersebut.

Dakwaan tersebut tidak dapat disahkan secara bebas dan siasatan yang diterajui oleh PBB mendapati kerajaan Syria telah menggunakan klorin sekurang-kurangnya sebanyak dua kali.

Selain itu, kerajaan Syria pula menafikan mereka menggunakan senjata kimia ke atas orang awam.

Pekerja Pertahanan Awam Syria, Ibrahem Alhaj berkata dia telah tiba di lokasi kejadian serangan itu tidak lama selepas helikopter menggugurkan tong yang mengandungi empat silinder klorin.

Pasukan tindakan kecemasan sukarelawan yang beroperasi di kawasan pembangkang  telah memuat naik video di laman Facebook bagi menunjukkan keadaan kanak-kanak menghadapi masalah untuk bernafas dan terpaksa menggunakan topeng oksigen untuk bernafas.

Selain itu, kumpulan itu juga menuduh kerajaan turut melakukan serangan klorin lain pada Ogos lalu.

Rusia yang merupakan sekutu kepada Syria menuduh kumpulan pemberontak yang telah menembak peluru mengandungi gas beracun di kawasan berkenaan.

Klorin merupakan bahan kimia industri yang sama namun penggunaannya dalam senjata telah diharamkan oleh Konvensyen Senjata Kimia.

Menurut PBB, rakyat Syria kembali diasak keganasan setelah tempoh bertenang awal tahun ini.

Difahamkan, tempoh bertenang pada Febuari lalu telah membenarkan beberapa bandar menerima bantuan pertama mereka namun ia hanya bertahan selama beberapa minggu.

Menurut laporan, 600,000 rakyat Syria kini hidup dalam kepungan dengan 300,000 yang lain terperangkap di bandar Aleppo.- BBC