DAMSYIK - SYRIA. Imej satelit dikeluarkan, kelmarin menunjukkan struktur utama kuil Bel di bandar purba Palmyra yang berusia hampir 2,000 tahun telah musnah sepenuhnya selepas ia diletupkan kumpulan militan IS, Ahad lalu.
Pengurus Jabatan Penganalisis Satelit Unosat, Einar Bjorgo mengesahkan kemusnahan melibatkan keseluruhan bahagian penting tinggalan bersejarah paling berharga di Syria itu.
"Imej tersebut amat penting bagi membolehkan Unesco memperoleh maklumat objektif mengenai situasi terkini di Palmyra yang turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh agensi di bawah PBB itu," katanya.
Minggu lalu, IS bertindak memusnahkan kuil Baalshamin dan tindakan yang dianggap sebagai jenayah perang itu turut dikutuk sekeras-kerasnya oleh Unesco.
Dalam perkembangan lain, kumpulan militan IS didakwa menjadikan saudara mara kepada jemaah yang menunaikan haji pada tahun ini sebagai tebusan mereka.
Saksi mendakwa tindakan itu dibuat untuk memastikan jemaah terbabit tidak melarikan diri dari bandar Mosul yang kini dikuasai sepenuhnya oleh IS selepas musim haji berakhir. - al-Arabiya