Monday 25 August 2014

Tebusan Amerika ditahan di Syria dua tahun dibebaskan

ISNIN, 25 OGOS 2014 @ 10:37 AM
Gambar yang diperoleh daripada video tidak bertarikh menunjukkan lelaki dipercayai Peter Theo Curtis, seorang warga Amerika Syarikat yang ditahan sebagai tebusan di Syria, dibebaskan semalam.
 
WASHINGTON: Seorang rakyat Amerika Syarikat yang ditahan sebagai tebusan selama 22 bulan oleh pergerakan pemberontak di Syria dibebaskan, semalam dan diserah kepada pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bukit Golan.

"Akhirnya dia akan kembali," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dalam satu kenyataan, mengesahkan pembebasan Peter Theo Curtis, seorang penulis berusia 45 tahun dan wartawan bebas di Bukit Golan.

Berita pembebasannya diperoleh kurang seminggu selepas penyebaran video yang menunjukkan pembunuhan wartawan Amerika, James Foley.

Curtis diserahkan kepada pasukan pengaman PBB di kawasan perkampungan Al Rafid, Quneitra di Bukit Golan dan selepas melalui pemeriksaan kesihatan, dia diserahkan kepada wakil Amerika, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Selepas seminggu kita menghadapi tragedi yang dahsyat, pada hari ini kita berasa lega apabila mendapat khabar yang Theo Curtis akan kembali berikutan penahanannya di Jabhat Al-Nusrah," kata Kerry, merujuk kepada Barisan Al-Nusra, satu lagi pergerakan pemberontak di Syria.

Kerry berkata Amerika Syarikat sebelum ini cuba memperoleh bantuan daripada banyak negara dalam usaha pembebasan Curtis, dan mana-mana rakyat Amerika yang ditahan sebagai tebusan di Syria.

Sementara itu Penasihat Keselamatan Nasional AS, Susan Rice, berkata beliau menjangka Curtis akan kembali ke pangkuan keluarganya dalam masa terdekat.

Keluarga Curtis memberi penghargaan kepada kerajaan Amerika Syarikat dan Qatar dan pihak lain yang membantu dalam rundingan pembebasannya. - AFP