Wednesday 27 August 2014

Nada Awni, dibunuh kejam di Saraqib, Idlib dalam satu serangan udara semalam.

Wanita AS dijadikan tebusan militan Syria

RABU, 27 OGOS 2014 @ 10:22 AM

 
WASHINGTON: Seorang wanita Amerika Syarikat yang melakukan kerja kemanusiaan dikatakan kini ditahan sebagai tebusan oleh pergerakan militan di Iraq.

Wanita berusia 26 tahun itu adalah tebusan ketiga dari Amerika yang diculik oleh kumpulan radikal terbabit.

Pergerakan Negara Islam (IS) itu baru-baru ini mengancam untuk membunuh tebusan Amerika bagi membalas dendam berikutan serangan udara AS terhadap militan yang sedang mara ke Bukit Sinjar dan ibu negara Krdis, Irbil.

Wanita berkenaan diculik tahun lalu ketika bekerja dengan kumpulan kemanusiaan di Syria. Wakil keluarga dan pegawai Amerika Syarikat meminta agar nama wanita itu tidak disiarkan atas sebab keselamatan.

Kira-kira seminggu lalu, wartawan bebas Amerika James Foley dipancung kepalanya oleh pergerakan terbabit, yang menculiknya pada November 2012. Foley, 40, bekerja di zon konflik di sekitar Asia Barat termasuk Iraq, Libya dan Syria. - AP

Wartawan AS kembali selepas diculik di Syria

RABU, 27 OGOS 2014 @ 1:14 PM
Peter Theo Curtis bersama ibunya, Nancy, selepas pembebasannya di Boston semalam.- Foto AP
 
WASHINGTON: Wartawan yang ditahan selama hampir dua tahun oleh militan berkaitan Al-Qaeda di Syria kembali ke Amerik Syarikat semalam, dua hari selepas Qatar merundingi pembebasannya.

Peter Theo Curtis, 45, ditemukan semula dengan ibunya Nancy Curtis di Lapangan Terbang Antarabangsa Boston Logan, selepas terbang dari Tel Aviv ke Newark, New Jersey.

"Saya begitu terharu dan sedih bila ditemui ramai orang - mereka yang tidak dikenali di dalam pesawat, atendan penerbangan dan paling istimewa anggota keluarga saya sendiri, yang mengucapkan selamat kembali," kata Curtis.

Tambahnya, beliau juga terhutang budi dengan pegawai Amerika Syarikat yang berusaha untuk kesnya dan ingin menyatakan penghargaan kepada kerajaan Qatar kerana masuk campur bagi pihaknya.

Keluarga Curtis berkata kerajaan Qatar berkali-kali menegaskan bahawa pembebasan itu tidak diperoleh dengan bayaran wang tunai, berikutan perbahasan mengenai dasar Amerika yang enggan membayar wang tebusan kepada pengganas.

Washington berpegang teguh pada pendirian tidak membayar wang tebusan atas alasan tindakan itu akan hanya membahayakan rakyatnya di seluruh dunia.

Wartawan bebas dan penulis itu dibebaskan Ahad lalu, kurang seminggu selepas video ngeri menunjukkan pembunuhan seorang tebusan AS, wartawan James Foley oleh satu lagi pergerakan berlainan.

"Saya lega anak saya kini sedang berdiri bersebelahan saya. Namun ia adalah sesuatu yang menyedihkan kerana apa yang berlaku minggu lalu. Saya turut bersimpati dengan keluarga lain yang turut ditimpa kesedihan ini.

"Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada orang awam dan semua pihak di seluruh dunia yang membantu membawa pulang Theo," kata Nancy Curtis."

Curtis ditawan sejurus sebelum masuk ke Syria pada Oktober 2012 dan ditahan oleh kumpulan serpihan Al-Qaeda yang dikenali sebagai Barisan Al-Nusra, menurut keluarganya. - AFP

Malaysia kutuk tindakan dan jenayah Militan Negara Islam di Syria dan Iraq - PM

RABU, 27 OGOS 2014 @ 4:19 PM

 
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serta jenayah yang dilakukan Militan Negara Islam di Syria dan Iraq atas nama Islam yang sebenarnya agama keamanan.

Perdana Menteri, dalam satu kenyataan semalam, berkata Malaysia kesal dan amat sedih dengan kekejaman yang dilakukan atas nama Islam dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera mengekang keganasan yang berlaku.

"Kita mesti menentang keganasan dengan kesederhanaan dan berusaha untuk mengikat semula semula jalinan antara masyarakat yang terputus akibat peperangan.

"Umat Islam di serata dunia melihat dengan penuh ketakutan apabila konflik baru tercetus di Syria dan Iraq. Terdedahnya laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai dan bukti bergambar mengenai kekejaman yang berlaku amat mengejutkan kita.

"Perbuatan Militan Negara Islam di Syria dan Iraq ini bercanggah dengan agama kita, budaya kita, malah bertentangan dengan segala aspek kemanusiaan. Semua ini bertentangan dengan ajaran Nabi kita, seorang manusia yang berpegang kepada keamanan dan kesederhanaan," katanya.