DAMSYIK - SYRIA. Kumpulan Rangkaian Hak Asasi Manusia di Syria, kelmarin mendakwa satu lagi serangan senjata kimia dipercayai berlaku di barat laut Idlib.

Menurut saksi beberapa helikopter milik tentera kerajaan melepaskan sekurang-kurangnya dua tong mengandungi gas klorin ke atas bandar Saraqeb hingga menyebabkan kira-kira 12 penduduk mengalami sesak nafas.

Dalam satu kenyataan, ketua pembangkang utama Syria mendedahkan beliau menerima laporan itu ketika menghadiri mesyuarat tertutup dan tidak rasmi bersama Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
"Saya mendesak UNSC supaya bertindak tegas terhadap resolusi dikeluarkan oleh mereka terhadap penggunaan senjata kimia di Syria termasuk yang baharu dikuatkuasakan pada bulan lalu," kata Presiden Gabungan Kebangsaan Syria (SNC), Khaled Khoja.

Sebelum ini, banyak pihak menuduh kerajaan Syria bertanggungjawab mendalangi serangan senjata kimia sejak perang saudara tercetus di negara itu pada 2011, namun dinafikan oleh rejim Presiden Bashar al-Assad.

Difahamkan, gas klorin tidak diisytiharkan sebagai senjata kimia di bawah perjanjian bersama Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) yang menetapkan kesemua senjata kimia milik Syria dimusnahkan mengikut tarikh ditetapkan agensi antarabangsa itu pada 2013. - Al-Arabiya