Tuesday 10 November 2015

Gesa tingkatkan bantuan kepada pelarian Syria


Gesa tingkatkan bantuan kepada pelarian Syria

10 NOVEMBER 2015
Gesa tingkatkan bantuan kepada pelarian Syria Kem Zaatari di timur laut ibu negara Jordan ini diwujudkan untuk memberikan perlindungan kepada pelarian Syria.

AMMAN - JORDAN. Ketua Program Pembangunan PBB (UNDP), Helen Clark menggesa bantuan kepada pelarian Syria dipertingkatkan selepas krisis negara itu semakin meruncing akibat campur tangan ketenteraan Rusia.

"Dana mencukupi diperlukan untuk membantu golongan tersebut kerana mereka juga mahu meneruskan kehidupan seperti orang lain.

"Apa yang perlu kita lakukan adalah untuk memberi tumpuan kepada beberapa perkara bagi membolehkan pelarian Syria berdikari dan tidak bergantung sepenuhnya kepada negara antarabangsa," katanya dalam satu persidangan di Jordan.

Menurutnya lagi, negara pemberi dana hanya menyalurkan kurang separuh daripada AS$4.5 bilion (RM19.7 bilion) bantuan kewangan yang dijanjikan sebelum ini.

"Kebanyakan daripada pelarian Syria yang melarikan diri daripada konflik di negara itu kini hidup dalam keadaan sukar.

"Kebanjiran pelarian tersebut telah memberi beban lebih besar kepada negara tuan rumah yang memberi perlindungan kepada golongan itu," jelasnya lagi.

Difahamkan, kira-kira 7.6 juta pelarian Syria kehilangan tempat tinggal dan terperangkap di dalam konflik perang saudara di negara tersebut manakala lebih empat juta terpaksa melarikan diri sejak 2011, menurut Press TV.

Britain senaraikan Rusia sebagai ancaman


10 NOVEMBER 2015

Britain senaraikan Rusia sebagai ancaman

Britain senaraikan Rusia sebagai ancaman Putin (kiri) bertemu pegawai tentera tertinggi negara semasa perarakan Hari Kemenangan pada Mei lalu di Red Square, Moscow. - Foto AFP

LONDON - BRITAIN. Rusia telah disenaraikan sebagai salah satu ancaman keselamatan tertinggi di Britain selain keganasan global dan virus Ebola.

Draf senarai baharu yang dikeluarkan perkhidmatan keselamatan Britain itu menyebut, dakwaan pencerobohan Rusia di Ukraine, bajet ketenteraan yang besar dan kesediaan Presiden Vladimir Putin mempamerkan kuasanya menjadi punca kebimbangan.

"Dalam tempoh lima tahun lalu telah menyaksikan pelbagai perkembangan antarabangsa, daripada pertumbuhan radikal dan fundamentalisme kepada kebimbangan yang semakin meningkat terhadap bekalan tenaga serta peningkatan pencerobohan dari Rusia," menurut laporan itu.

Senarai tersebut turut merujuk kepada China sebagai ancaman, memetik kebimbangan terhadap autoritarian dan pencabulan hak asasi manusia yang berterusan di negara itu.

Difahamkan, laporan berkenaan akan dikeluarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron pada 23 November depan, dan akan dijadikan sebahagian daripada strategi keselamatan negara selepas kajian keselamatan dilakukan, menurut laporan Press TV.

Serangan udara ragut 23 nyawa

Agensi
Beirut: Sekurang-kurangnya 23 orang awam Syria terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan di bandar yang dikuasai kumpulan penentang di pinggir Damsyik, kelmarin.

Serangan di daerah Douma itu menyasarkan pusat bandar, tempat urusan perniagaan sering diadakan, kata kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria.

Ia dipercayai dilakukan oleh pesawat Russia yang menyertai serangan udara di Syria sejak 30 September lalu bagi membantu Presiden Bashar al-Assad.

Menurut kumpulan pemerhati yang berpejabat di London itu, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak dan tujuh wanita antara yang terbunuh.



Dalam kenyataannya semalam kumpulan itu berkata, angka kematian mungkin meningkat kerana sejumlah mangsa cedera parah.

Ini bukan kali pertama serangan udara Russia menyasarkan tempat yang menjadi tumpuan orang ramai di Douma.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam serangan udara di bandar itu, menurut Doktor Tanpa Sempadan.

Serangan bom tong yang dilancarkan tentera yang setia kepada Bashar pada Ogos pula meragut 117 nyawa.

Dalam pada itu, kumpulan Negara Islam (IS) membebaskan sekumpulan penganut Kristian Assyria yang mereka jadikan tebusan di timur laut Syria sejak awal tahun ini.

Menurut kumpulan hak asasi Assyria, kumpulan itu terdiri daripada 27 wanita dan 10 lelaki, kebanyakan orang tua.

Mereka ialah sebahagian daripada 220 penduduk Kristian Assyria yang ditawan IS sejak Februari lalu.

Menurut laporan, pembebasan itu adalah hasil rundingan yang dijalankan. Bagaimanapun, laporan lain mendakwa, IS dibayar untuk membebaskan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 6:50 AM

SEORANG lelaki menggendong seorang kanak-kanak yang cedera selepas serangan udara tentera Russia di Douma.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91810#sthash.t1nZtV5Q.dpuf